Panasnya Hari Ini

Kekuatan PH Bergantung Pada Perpaduan Ahli – Mahathir

PORT DICKSON – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kekuatan Pakatan Harapan, amat bergantung kepada perpaduan dan keutuhan ahlinya.

Beliau berkata untuk itu, semua anggota parti tidak boleh membiarkan diri terganggu dan hilang fokus dengan perkara-perkara sampingan, yang tidak ada nilai sama sekali dengan pembangunan dan hala tuju negara.

“Kuasa yang diamanahkan oleh rakyat kepada kita, adalah untuk memperbaiki apa yang telah rosak dan memperbetulkan apa yang salah, tidak lebih dan tidak kurang daripada itu.

“Kita juga perlu bertanya kepada diri kita, apakah kita akan terus mendapat mandat daripada rakyat, jika mereka melihat kita berterusan bertelagah kerana berebut kuasa tanpa sedar, kerana kita berebut-rebut itulah kita akan hilang kuasa,” katanya dalam ucapan pada Majlis Temurapat Pimpinan Keadilan Pusat di sini, malam tadi, lapor Bernama.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan pimpinan PKR pusat dan negeri.

Menyingkap kembali kejayaan PH, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata buat sebelum gabungan itu berkuasa, kesemua komponen parti telah bersama-sama mengetepikan perbezaan-perbezaan seperti dendam, marah serta rasa benci yang wujud.

“Kenapa kita boleh ketepikan itu semua Kerana kita sedar dan nampak akan kerosakan yang telah dan sedang berlaku ketika itu, dan dilakukan oleh pemimpin-pemimpin negara serta rakan-rakan seperjuangan mereka. Kita juga sedar jika kita tak lakukan sesuatu untuk menyekat mereka (merujuk kepada BN), masa depan negara dan anak cucu kita akan hancur berkecai.

“Kita bertemu dan berbincang. Kita bertengkar dan kemudian berdamai. Kita bercanggah pendapat dan kita juga bertolak ansur. Walaupun mungkin masih ada saki baki rasa tak puas hati terhadap beberapa perkara, kita ketepikan dan kita maju sebagai satu pasukan,” katanya.

Berbicara lanjut, perdana menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata PH juga buat julung kalinya sebagai gabungan pembangkang sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, bersetuju menggunakan simbol PKR memandangkan Pendaftar Pertubuhan tidak membenarkan simbol PH digunakan.

Katanya, semua ini dilakukan kerana semua pihak dalam gabungan mengambil sikap bahawa menjadi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia yang sayangkan negara, untuk bertindak menyekat kerosakan-kerosakan yang sedang berlaku dan dilakukan ketika itu.

“Saya yakin, semasa kita ambil tanggungjawab tersebut, kita berpegang pada prinsip jika bukan kita, siapa lagi. Jelas keputusan yang kita ambil untuk bersama-sama di dalam Pakatan Harapan adalah keputusan yang tepat, dan majoriti rakyat mengundi kita memastikan kita menang PRU14 dan menolak BN,” katanya.

Dr Mahathir berkata jika dahulu ramai yang tidak yakin gabungan itu mampu berjaya dan di dalam kemelut menangani kejayaan dan kemenangan, oportunis-oportunis mula mengerumuni PH dan berjaya menyusup masuk dengan kemahuan jelas, untuk mencari kepentingan peribadi untuk kekayaan diri dan melaga-lagakan ahli.

“Sehingga hari ini, kita masih lagi berusaha untuk menangani musuh-musuh dalam selimut dan kadang kala sabotaj yang dilakukan mereka, mampu membawa kepada keruntuhan kerajaan kita, jika kita tak dapat menanganinya.

“Di masa yang sama, pihak yang kalah tidak dapat menerima hakikat, bahawa mereka ditolak rakyat kerana telah merompak harta rakyat dan apabila melihat kelemahan di pihak kita, mereka akan eksploit seberapa mungkin dan menampilkan diri mereka sebagai pejuang rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi menekankan bahawa PH tidak mempunyai banyak masa untuk melaksanakan janji-janji dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, dan meminta semua ahli dan pemimpin komponen PH bertekad bekerja seberapa mampu dan mempermudahkan hidup rakyat.

“Ini adalah satu amanah dan apabila kita sudah tidak memegang kuasa, ukuran rakyat ialah sama ada kita telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah, yang telah mereka berikan kepada kita.

“Tugas kita bukan terhenti atau berakhir setiap kali pilihan raya umum diadakan. Apabila kita merencanakan masa depan negara, ia harus berupaya melakar satu hala tuju melangkaui jangka masa yang panjang, kerana ini memastikan kelestarian atau sustainability,” katanya.

Dr Mahathir berkata oleh kerana Wawasan 2020 agak tersasar dan wawasan baru, Wawasan Kemakmuran Bersama (Shared Prosperity), diperkenalkan adalah bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus membangun secara mampan, seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi, sehingga mewujudkan keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang 2030.

“Rakyat yang bersatu tanpa prasangka, dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya, adalah asas kepada penyatuan negara bangsa. Untuk mencapai Kemakmuran Bersama dan lain-lain agenda negara, yang telah kita janji dan tetapkan, keutuhan gabungan PH merupakan kunci kejayaan mereka,” katanya.

Terdahulu, program Temurapat Majlis Pimpinan Keadilan Pusat berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");