Berita Hari Ini

Kementerian Pendidikan ‘Berpatah Arang’ Dengan MUDA

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan membuat keputusan tidak akan terbabit lagi dalam apa juga program anjuran Malaysia United Dancesport Association (MUDA) selepas ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata MUDA didapati menyalahguna nama dan logo kementerian selain gagal mematuhi syarat ditetapkan ketika menganjurkan Kejohanan Tarian Sukan Piala MUDA Perak, Sabtu lalu.

“Kementerian memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama dan logo kementerian,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Twitter beliau hari ini.

Kejohanan itu turut dikenali sebagai Kejohanan Tarian Pertunjukan Perak 2019 Ketujuh dan gambar peserta pertandingan tarian itu viral di media sosial sehingga mengundang kecaman warga internet, yang menganggap Kementerian Pendidikan terbabit dalam majlis tidak bermoral.

Penganjur pertandingan, JJ & Alice Danceworld dalam satu kenyataan semalam membuat permohonan maaf kepada Kementerian Pendidikan berikutan program itu menerima kecaman masyarakat.

Sementara itu, dalam kenyataan media hari ini, Kementerian Pendidikan menegaskan pihaknya hanya membenarkan penyertaan murid dalam kategori murid sekolah.

Kenyataan itu berkata, penyertaan mereka tertakluk kepada peruntukan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil 8/2009 dan Bil 7/1988.

“Malah, dalam surat kelulusan kepada MUDA, kementerian menggariskan tatacara pemakaian yang perlu dipatuhi murid menyertai pertandingan.

“Kebenaran penggunaan logo kementerian hanya membabitkan kategori murid sekolah dan sijil penyertaan bagi kategori itu.

“Penggunaan logo kementerian pada sijil bagi kategori lain tidak mendapat kebenaran kementerian, begitu juga dengan penggunaan logo pada kain rentang serta tirai latar ketika pertandingan,” kata kenyataan itu.-BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");