Berita Hari Ini

Kepung, Pijak, Balun

DIKEPUNG, dipijak dan ditumbuk. Itu azab dialami seorang anggota polis selepas pasukannya diserang 50 samseng warga Afrika sehingga menyebabkannya cedera di bahagian muka dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Damansara, di sini, Khamis lalu.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan lelaki terbabit turut melempar botol, kayu dan selipar ke arah seorang pegawai dan tiga anggota polis selepas tidak berpuas hati serbuan dilakukan terhadap satu unit kediaman di pangsapuri berkenaan.

Samseng Afrika berkenaan dipercayai turut melarikan dompet, telefon bimbit dan kunci motosikal pegawai dan anggota terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, terdahulu mangsa bersama seorang pegawai dan dua anggota ke lokasi berkenaan untuk melakukan serbuan selepas mendapat maklumat berhubung kes penipuan, jam 10.50 malam.

Katanya, ketika mahu memulakan pemeriksaan tiba-tiba muncul 50 lelaki warga Afrika mengepung dan bertindak agresif terhadap pegawai serta anggota polis bertugas.

“Kumpulan warga asing di luar pangsapuri itu menggunakan kekerasan dan menarik anggota polis berkenaan keluar menyebabkan berlaku pergelutan,” katanya.

Beliau berkata, ketika pergelutan itu lima suspek terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki warga Afrika yang belum sempat ditahan berlari keluar dari pangsapuri berkenaan.

“Pasukan serbuan berjaya melepaskan diri daripada kepungan kumpulan terbabit dan bertindak meminta bantuan.

“Pasukan bantuan yang tiba menahan 10 lelaki warga Afrika dipercayai terbabit dalam pergelutan itu,” katanya.

Difahamkan, anggota polis yang cedera di muka dalam kejadian itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, untuk mendapatkan rawatan.

Buru samseng terbabit serangan

POLIS giat memburu beberapa samseng Afrika yang terbabit dalam serangan terhadap pegawai dan anggotanya di sebuah pangsapuri di Damansara di sini, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, tindakan mengesan individu terbabit dalam insiden itu masih dijalankan walaupun 10 daripada mereka sudah berjaya ditahan.

“Ketika kejadian, seorang pegawai dan tiga anggota polis dari pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) ke lokasi untuk melakukan tangkapan terhadap seorang suspek warga Nigeria yang dipercayai terbabit kes penipuan.

“Bagaimanapun, ketika operasi itu berlaku provokasi kira-kira jam 11 malam menyebabkan ada anggota yang cedera akibat diserang,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pegawai dan anggota terbabit kemudian meminta bantuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang kemudian tiba di lokasi kira-kira jam 12 tengah malam.

“Pasukan itu berjaya menahan 10 lelaki warga Afrika di lokasi yang kini direman empat hari sehingga Isnin ini untuk membantu siasatan.

“Pada masa sama, kami giat mengesan beberapa individu lain yang terbabit dalam insiden serangan itu,” katanya.

Fadzil turut memberi amaran kepada warga asing terutama dari Afrika terbabit dalam kes itu, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mereka yang jelas melanggar undang-undang dan menghalang tugas penjawat awam.

“Tindakan tegas akan diambil kepada semua pihak termasuk warga asing yang didapati melanggar undang-undang,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148, Seksyen 160 dan Seksyen 335 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh, melakukan gaduh gempar dan mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");