Berita Hari Ini
Like

Kerajaan Johor Lancar Tabung Penghidap Myokymia

July 14, 2019
150 Views
0 Comments
1 minute read
Kerajaan Johor Lancar Tabung Penghidap Myokymia

PASIR GUDANG: Kerajaan Johor akan melancarkan tabung membantu Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, murid menghidap penyakit Myokymia, sejenis penyakit berkaitan saraf bagi mendapatkan rawatan terbaik.

Irfan Wafiy didakwa menderita penyakit berkenaan akibat pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi, Aminolhuda Hassan, berkata pakar akan meneliti Irwan Wafiy secara rapi sebelum menentukan rawatan terbaik untuk murid Tahun Enam itu.

“Tabung ini bertujuan untuk membantu Irfan mendapat kepakaran luar bagi mengenal pasti penyakit yang dihidapi dan apakah rawatan terbaik yang boleh diberikan.

“Selepas mengenal pasti rawatan yang perlu, kami jangka ia akan dapat dilaksanakan selepas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau bacaan kualiti udara dan Volatile Organic Compound (VOC) di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Bukit Dahlia, di sini, hari ini, lapor BH Online.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh.

Sebelum ini, media melaporkan keluarga Irfan Wafiy kecewa apabila mendakwa pihak berkaitan tidak mengambil berat dalam aspek rawatan murid itu.

Sementara itu, keluarga Irfan Wafiy menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk menubuhkan tabung bagi membantu memulihkan penyakit itu.

Bapa Irfan Wafiy, Idham Wazir A Wahab, 49, berkata, dia menghargai bantuan diberikan kerajaan negeri kerana ia adalah satu keperluan apatah lagi jika rawatan memerlukan pakar luar negara.

“Setakat ini pihak hospital yang ditemui masih belum dapat mengenal pasti rawatan terbaik bagi memulihkan penyakit anak saya,” katanya.

Komen & Pendapat

Comments are closed.