Berita Hari Ini

Kerajaan Setuju Cadangan Pembangkang Secara Prinsip

KUALA LUMPUR: Kerajaan secara prinsip bersetuju dengan cadangan pembangkang yang mahu warganegara berusia 18 tahun secara automatik berdaftar sebagai pengundi dan menurunkan had usia calon pilihan raya kepada 18 tahun.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata perkara itu memang sudah dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), khususnya mengenai daftar pemilih secara automatik yang menjadi antara manifesto mereka.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak pasti sama ada kedua-dua pindaan itu dapat dilakukan bersama pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan yang dijangka dibentangkan esok.

“Secara prinsip, kita setuju dengan syarat ini, cuma saya tak pasti mereka mahu pindaan itu dibacakan sekali (dengan pindaan Perkara 119(1) esok) atau tidak.

“Ketika ini, kajian daftar pemilih secara automatik sedang dijalankan dan memang ingin dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (JRPR), cuma pelaksanaannya sedang diperhalusi,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Syed Saddiq berkata, proses melaksanakan daftar pemilih secara automatik memerlukan sedikit masa kerana SPR perlu membersihkan sistem daftar pemilih terlebih dahulu, yang kini masih memiliki nama pengundi yang sudah meninggal dunia.
Katanya, SPR juga perlu menyelaraskan sistem itu dengan data Jabatan Penjara kerana pelaku kesalahan jenayah yang dikenakan hukuman tertentu tidak boleh mengundi.
“Bila buat automatik, semua nama akan dimasukkan sebagai daftar pemilih, tapi tak semua boleh mengundi kerana kalau ada disabitkan kesalahan jenayah dengan hukuman tertentu, mereka tak boleh mengundi.
“Kita tetap akan lakukan, cuma kena ada pembaikan dilakukan, tapi paling mustahak pembangkang perlu menyokong (pindaan Perkara 119(1),” katanya.
Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di lobi Parlimen, berkata pembangkang hanya akan menyokong pindaan Perkara 119(1) jika ia termasuk dua perkara itu yang dicadangkan mereka.
Pindaan Perkara 119(1) bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun yang akan dibentangkan oleh Syed Saddiq esok, memerlukan sokongan majoriti dua pertiga untuk diluluskan di Dewan Rakyat.- BHarian
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");