Berita Hari Ini

Kerajaan Warisi Masalah TH Daripada Kerajaan Terdahulu

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah memanipulasi atau mengamalkan perakaunan kreatif dalam pengurusan Tabung Haji (TH), sebaliknya masalah yang wujud hari ini diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata akibat daripada masalah itu, kerajaan kini terpaksa melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memulihkan TH.

“Saya ingin menyebut di sini bahawa yang memanipulasi dan segala perakaunan kreatif itu bukan dari kami (kerajaan Pakatan Harapan) tetapi disebabkan mereka (kerajaan terdahulu yang kini menjadi pembangkang). Kami terpaksa buat (pelan baik pulih) semua ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-UMNO Ketereh) yang meminta kerajaan supaya mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah dihadapi TH sehingga menimbulkan keresahan rakyat.

Mujahid memberi contoh kerajaan berjaya mengurangkan perbelanjaan operasi TH dalam suku pertama tahun ini sebanyak RM58 juta.

“Pada suku pertama 2018, perbelanjaan operasi TH (ketika pentadbiran kerajaan terdahulu) ialah RM262 juta tetapi ia dapat dikurangkan kepada RM204 juta dalam tempoh sama tahun ini.

“Apabila kami mengambil alih (kerajaan), kami berjaya kurangkan (perbelanjaan operasi TH) sebanyak RM58 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata pembangkang sengaja cuba menimbulkan keresahan rakyat yang berpunca daripada masalah yang wujud ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Berdasarkan maklumat saya, rakyat di bawah tidak resah, yang resah hanya pembangkang sahaja,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-PKR Port Dickson) yang mahukan pendirian kerajaan berhubung keselamatan jemaah negara berikutan hubungan dingin Amerika Syarikat-Iran, Mujahid berkata perkara itu menjadi keutamaan kerajaan.

“Kerajaan dari sudut operasi jemaah sememangnya meletakkan keutamaan paling tinggi dalam menjamin keselamatan jemaah dan bagi pihak kita serta kerajaan Arab Saudi dalam soal menjaga jemaah haji, kami sentiasa berurusan dengan pihak keselamatan Arab Saudi,” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");