Panasnya Hari Ini
Like

‘Kereta Terbang Tak Guna Sesen Pun Duit Rakyat’

July 2, 2019
423 Views
0 Comments
2 minutes read
‘Kereta Terbang Tak Guna Sesen Pun Duit Rakyat’

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof sekali lagi menegaskan bahawa pembangunan prototaip kereta terbang tidak menggunakan “satu sen” pun duit rakyat.

Sebaliknya, katanya, projek tersebut merupakan usaha yang dilakukan oleh beberapa syarikat persendirian yang berkemampuan dan berminat menerokai bidang pengangkutan udara.

“[…] Semua hak milik termasuk reka bentuk adalah bawah tanggungjawab syarikat yang membangunkan ini (pengangkutan udara), termasuk kos berkaitan.

“[…] Pengangkutan udara melibatkan pembangunan prototaip kereta terbang tak melibat satu sen pun duit rakyat. Ia adalah initiasif daripada beberapa syarikat persendirian.

“Kita kena sentiasa menjalinkan hubungan dengan sektor swasta supaya industri ini dirangsangkan selari dengan pembangunan industri antarabangsa. […] Inovasi memang berjalan dengan cepat, kalau kita tidak sediakan ruang dan peluang, maka kita akan ketinggalan,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan bertulis daripada Anggota Parlimen Pasir Putih, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang bertanyakan perkembangan prototaip kereta terbang tersebut.

Pada minggu lalu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Wong Kah Woh memaklumkan membuat siasatan terhadap dana pembiayaan projek tersebut, biarpun Redzuan pernah berkata ia tidak dibiayai dana kerajaan.

Mengulas lanjut, kata Redzuan, kementeriannya hanya memainkan peranan dan memudah cara dalam membangunkan ekosistem penagkutan udara terutamanya dalam aspek penggubalan polisi, peraturan dan sokongan industri tempatan bagi memenuhi keperluan pembangunan industri tersebut.

Katanya, industri pengangkutan udara merupakan bidang yang dikenal pasti oleh kementeriannya sebagai mempunyai potensi tinggi dalam sektor keselamatan, pertanian dan sebagainya, baik di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

“Sebab itu kita lihat hari ini (kita) melibatkan diri dalam menyokong dan mendokong segala usaha anak tempatan untuk membangunkan industri yang agak begitu ke depan di (peringkat) antarabangsa,” katanya lagi.

Redzuan turut memaklumkan kementeriannya menjangkakan projek tersebut dapat dilancarkan seawal Oktober 2019.

Pada 26 Februari dilaporkan bahawa kerajaan sedang membangunkan kereta terbang pertama di Malaysia dengan menggunakan teknologi tempatan, dan prototaipnya dijangka diperkenalkan pada tahun ini.

Beliau turut memaklumkan pelaburan untuk membina prototaip adalah berjumlah “lebih sedikit daripada RM1 juta”.

Biarpun ditempelak banyak pihak, beliau mempertahankan projek tersebut sambil menegur sikap rakyat Malaysia yang tidak terbuka terhadap idea teknologi berbanding negara luar lapor MKini.

Komen & Pendapat

Comments are closed.