Berita Hari Ini

Ketua Pengarah YaPEIM Sudah Terima Surat Tunjuk Sebab

SUNGAI PETANI: Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Datuk Abibullah Samsudin, yang digantung tugas sebelum ini sudah diberi surat tunjuk sebab dan diminta memberi penjelasan segera berhubung kes salah lakunya.

Menurut BH Online, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar, berkata surat tunjuk sebab itu dikeluarkan pada 14 Julai lalu dengan Abibullah diberi tempoh dua minggu bagi memberi penjelasan penuh.

Berikutan itu, katanya, tempoh penggantungan tugas ke atas Abibullah juga dilanjutkan selama sebulan lagi, sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

“Beliau (Abibullah) sudah diberi surat tunjuk sebab dan perlu memberi jawapan kepada pertuduhan dari segi salah laku pentadbirannya dulu.

“Jadi, kita perlu tunggu beliau memberikan jawapan dan membawa saksi bagi menjelaskan apa saja tuduhan ke atasnya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan.

Terdahulu Mohd Daud melancarkan tiga produk baharu Ar Rahnu YaPEIM di pekarangan cawangan Ar Rahnu YaPEIM Sungai Petani.

Mohd Daud berkata, setakat ini tiada lantikan baharu dilakukan memandangkan Abibullah masih Ketua Pengarah YaPEIM.

“Kebetulan umur persaraan beliau jatuh pada Oktober ini, jadi kita melihat dari segi umur persaraan dan tunggu jawapan beliau terhadap pertuduhan ke atasnya sebelum tindakan seterusnya diambil,” katanya.

Sebelum ini, Abibullah digantung tugas sementara berkuat kuasa 21 Mei lalu, bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan ke atasnya berhubung dakwaan salah laku.

Difahamkan, Abibullah digantung tugas kerana didakwa terbabit aktiviti kempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebelum ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, membuat laporan polis berhubung penularan video seorang lelaki didakwa Abibullah mempengaruhi kakitangan YaPEIM pada PRU lalu.

Mohd Daud turut mengakui isu dibangkitkan pada media sosial dan parti politik sedikit sebanyak menjejaskan kepercayaan penyumbang terhadap YaPEIM.

“Kita cuba pulihkan balik dan ambil inisiatif menghubungi setiap penyumbang dan meminta mereka datang semula bersama YaPEIM.

“Selepas ini kita akan buat secara berkala segala perbelanjaan besar yang kita lakukan supaya masyarakat berasa yakin YaPEIM ditadbir secara terbuka, telus dan berbentuk masyarakat,” katanya.

Mohd Daud berkata, YaPEIM juga akan mengisytiharkan elaun lembaga pengarah dan perbelanjaan secara terperinci dalam laporan tahunan 2019 pada tahun depan kepada umum.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");