Berita Hari Ini
Like

Kit Siang Cadang SKMM, Polis Siasat Pembiaya ‘Cybertrooper’ Najib

July 14, 2019
373 Views
0 Comments
3 minutes read
Kit Siang Cadang SKMM, Polis Siasat Pembiaya ‘Cybertrooper’ Najib

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mencadangkan agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis menyiasat pembiaya laskar siber atau istilahnya ‘cybertroopers‘, seperti yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Lim berkata Najib mempunyai rekod menyebarkan pembohongan dan merupakan “bapa” kepada laskar siber yang digunakan untuk menyerang pembangkang.

“Saya menganggarkan beliau telah menghabiskan puluhan atau bahkan ratusan juta ringgit untuk projek ini yang, antara lain, memberi keyakinan kepadanya bahawa dia akan menang besar dalam PRU14, malah memperoleh semula majoriti dua pertiga parlimen.

“Selama beberapa bulan selepas kekalahan Umno-BN yang tidak dijangka pada 9 Mei 2018, cybertroopers berkenaan tidak muncul di media sosial.

“Tetapi kini mereka telah kembali ke media sosial Malaysia untuk membalas dendam, yang bermaksud bahawa dana untuk tentera cybertroopers penyebar kepalsuan ini telah disusun semula dan dilengkapkan.

“Mungkin ini tip bagi SKMM dan polis, untuk menyiasat pembiaya cybertroopers dalam media sosial dalam kempen untuk memerangi mesej palsu,” kata Lim.

Lim berkata demikian sebagai respon kepada ucapan Najib baru-baru ini di mesyuarat agung Umno Bahagian Pendang di mana beliau menuduh pemimpin DAP mencadangkan penubuhan Bersatu untuk memecah belahkan politik orang Melayu.

Sepanjang pentadbiran BN sebelum ini, beberapa pemimpin Umno malah mengakui bahawa pihak-pihak tertentu telah terlibat dalam mendapatkan perkhidmatan laskar siber untuk mempertahankan dasar kerajaan dan menyerang pembangkang.

Antara lain, Umno telah menubuhkan sebuah biro IT yang diketuai oleh Ahmad Maslan, yang secara rutin menasihati aktivis parti dalam menghasilkan kandungan dalam talian.

Bagaimanapun, ia tidak berjalan lancar untuk Umno kerana Najib pernah menuduh laskar siber menyerang rakan sendiri. Pada awal tahun ini, Najib juga menyifatkan bahawa “cybertroopers” sebagai “buat habis beras”.

Sementara itu, Lim sekali lagi mencabar Najib untuk membuktikan dakwaan tentang penglibatan DAP dalam penubuhan Bersatu.

“Najib berkata semalam dia hanya akan mendedahkan identiti orang itu, yang dia dakwa telah mendedahkan pelan saya untuk mewujudkan Bersatu ‘jika perlu’.

“Saya yakin Najib tidak akan dapat berbuat demikian, walaupun sekiranya orang itu wujud, ia sekurang-kurangnya akan menyelamatkan kredibilitinya dari pembohongan.

“Tetapi seorang penipu seperti itu yang boleh meyakinkan seorang bekas perdana menteri dengan kisah dongeng seumpamanya adalah orang yang perlu diketahui semua rakyat Malaysia.

“Kepada Najib, siapa orang ini jika benar wujud?” kata Lim.

Komen & Pendapat

Comments are closed.