Perak Hari Ini

KPKT Laksana Projek Bersihkan Tapak Pelupusan Haram

IPOH- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menjalankan satu projek perintis dengan keutamaan membersihkan tapak pelupusan sampah dan plastik haram di negara ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pemilihan Syarikat Resourceco Asia (M) Sdn Bhd adalah bagi memproses sampah kering terdiri daripada plastik, kertas dan kain yang akan dihancurkan dan akhirnya akan dihantar ke kilang simen untuk dijadikan bahan bakar.

“Pihak kementerian melihat perkara ini adalah salah satu mekanisma yang menarik dan boleh digunakan untuk melupuskan semua kilang-kilang haram plastik yang telah disita kerana ketika ini tiada tempat dan syarikat lain dapat melupuskan bahan berkenaan.

“Pihak Resourceco Asia juga telah membuat pembentangan kepada KPKT pada peringkat awal tetapi lawatan yang dibuat pada hari ini adalah untuk melihat sendiri proses yang digunakan sama ada wujud kebarangkalian penggunaan sistem bagi membersihkan tapak-tapak kilang haram plastik yang ada di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media semasa mengadakan lawatan kerja bagi melihat operasi kilang milik Syarikat Resourceco Asia (M) Sdn Bhd di Chomor, di sini, hari ini.

Katanya, KPKT di bawah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) akan mengeluarkan satu permit khas kepada syarikat Resourceco Asia dalam menjalaankan operasi dan usaha untuk membersihkan kilang-kilang plastik haram atau tempat-tempat pelupusan haram.

“Tinjauan mendapati bahawa sistem yang digunapakai oleh syarikat ini bersih dan teratur kerana sesuai dengan tujuan asal iaitu bagi memastikan kaedah yang digunakan bertepatan dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh JPSSN malahan teknologinya akan digunapakai pada masa akan datang.

“Kilang yang telah disita pula akan disenarai untuk dikoordinasi oleh Syarikat Resourceco Asia bagi pembersihan kilang yang mana dengan harapan perkara dapat dilaksanakan dalam tempoh enam bulan ke satu tahun,” katanya.

Namun begitu jelas beliau, setakat ini KPKT hanya mempunyai tanggungjawab untuk memantau sampah dibawah kod 3915 sahaja yang terdiri daripada 18 garis panduan yang ketat dan bukannya sampah jenis import.

“Syarikat-syarikat plastik import diminta untuk membuat pendaftaran baru selepas dibekukan selama 3 bulan dan satu SOP yang lebih ketat telah dikeluarkan malahan sebanyak 64 buah syarikat telah dipantau 100 peratus sebelum mendapat kelulusan, malahan tempat-tempat yang diberikan lesen juga akan dipantau dari semasa ke semasa untuk memastikan tahap kebersihannya turut konsisten,” katanya.

Jelas beliau lagi, perlaksanaan perkara ini dapat membersihakn imej Malaysia kerana negara kita bukanlah negara yang mengimport sampah malahan, hanya di negara kita sahaja yang menjadikan sisa bahan bakar untuk membuat simen.

“Perkara ini telah memberi manfaat kepada ekosistem negara kita yang mana kilang simen juga mendapat sumber daripada sumber tempatan.

“Jika ada sebarang keperluan pada masa akan datang, kita akan melihat satu kaedah atau SOP untuk kategori khas yang mana akan memproses sisa industri kepada bahan api kepada simen,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");