Berita Hari Ini

Kumpulan Pertama 474 Jemaah Haji Malaysia Mendarat Di Jeddah

MAKKAH – Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia KT29 seramai 474 orang selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah di sini pada 1.26 tengah hari waktu tempatan atau 6.25 petang waktu Malaysia, semalam.

Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi kenyataan hari ini memberitahu jemaah haji berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 9.15 pagi waktu Malaysia dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAS) MH8128.

Semua penerbangan haji berlepas pada 4 Julai hingga 17 Julai lepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Abdul Aziz di Madinah, manakala penerbangan berlepas semalam (18 Julai) hingga 5 Ogos ini mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz.

“Ketibaan mereka itu disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Nurrinanuwar Shamsuddin, Konsol Haji Mohammad Saimi Mat Som, pegawai Makkah Route dan petugas Tabung Haji,” kata kenyataan itu, lapor Bernama.

Ketika ini lebih 13,000 jemaah Haji Malaysia selamat tiba di Tanah Suci daripada keseluruhan 30,200 jemaah haji yang mengerjakan Rukun Islam kelima itu tahun ini.

Semua jemaah dibawa ke Makkah dengan 11 bas dan selamat tiba di Hotel Manar Al Shorouq di sini pada 3.40 petang waktu tempatan atau 8.40 malam waktu Malaysia, semalam.

Sementara itu pasangan suami isteri Jakaria@Zakaria Abdul Rahman, 58, dan Kasmi Kasni, 56, dari Kota Kinabalu, Sabah yang merupakan sebahagian daripada kumpulan jemaah itu meluahkan rasa syukur kerana selamat tiba di Tanah Suci dan dijemput menjadi duyufurrahman tahun ini.

“Penat dan letih itu ada namun bagi saya dan isteri itu hanya sebahagian daripada dugaan Allah, nikmat menjadi tetamu Allah itu lebih besar daripada segalanya. Saya tidak tahu nak terangkan perasaan saya selain rasa syukur yang tidak terhingga,” katanya ketika ditemui pemberita di Hotel Manar Al Shorouq.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");