Berita Hari Ini

Lahirkan Usahawan, Bukan Peniaga Yang Membelit, Tipu Pelanggan – PM

KUALA LUMPUR: Integriti dan kebolehpercayaan harus diasuh sejak dari peringkat awal pembentukan usahawan di negara ini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, budaya keusahawanan bukan sesuatu yang asing dalam kalangan rakyat Malaysia, namun pengukuhan aspek nilai murni wajar diberikan penekanan lapor BHarian.

“Kita mahu melahirkan usahawan, bukan peniaga (yang) pandai membelit dan menipu pelanggan,” katanya dalam ucaptama pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar;

Menyentuh kandungan DKN 2030, Dr Mahathir berkata, penggubalan dokumen rasmi itu adalah langkah wajar dan tepat pada masanya bagi menghadapi suasana ekonomi dunia yang bukan sekadar sengit serta mencabar, malah penuh ketidaktentuan angkara kesan perang dagangan.

“Dalam ketidaktentuan perang dagangan itu, kita masih mampu menarik pelaburan luar. Untuk suku pertama 2019, angka pelaburan langsung asing (FDI) mencecah RM21.7 bilion.

“Secara perbandingan, untuk tempoh masa yang sama bagi 2018, FDI hanya berjumlah RM11.2 bilion.

“Laporan terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberikan unjuran yang sangat positif terhadap Malaysia apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pendapatan per kapita diramal meningkat.

“Berasaskan nilaian semasa, Malaysia mampu mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2021 atau 2022,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, kerajaan harus berhati-hati dan bersedia menghadapi kemungkinan berlaku keadaan yang memudaratkan pertumbuhan, berbanding sekadar bergantung kepada angka serta ramalan mengenai keupayaan negara merancakkan sektor ekonomi.

Sehubungan itu, katanya, tumpuan wajar diberikan kepada pelaburan dalam negara (DDI) sejajar tumpuan dan harapan kerajaan terhadap FDI.

“Kita berhasrat untuk membangun dengan lebih pesat dan makmur, namun ini tidak hanya dinilai melalui angka KDNK.

“Pembangunan dan kekayaan harus diagihkan dengan lebih adil supaya semua rakyat dapat merasainya atau dalam definisi ringkas, melalui gagasan kemakmuran bersama,” katanya.

Selari matlamat jangka panjang yang ingin dicapai dalam tempoh 11 tahun, Dr Mahathir berkata, DKN 2030 diharap berupaya merungkai beberapa isu membabitkan kelompok usahawan.

Katanya, isu pertindihan dasar, tugas dan aktiviti pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan di beberapa kementerian dijangka dapat diselesaikan menerusi usaha penyelarasan semula.

“Ruang dan akses kepada ekosistem keusahawanan juga perlu diperluas termasuk membuka peluang keusahawanan untuk golongan berpendapatan rendah bawah 40 peratus (B40), orang kurang upaya (OKU), Orang Asli, wanita dan belia,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");