Berita Hari Ini

Latheefa Harapkan Pengumuman Lantikan Selepas Raya

PUTRAJAYA – Latheefa Koya hari ini meluahkan bahawa beliau sebenarnya mengharapkan pengumuman pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat hanya selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menceritakan pengalaman dilaluinya ketika dilantik ke jawatan itu sebulan yang lepas dalam temu bual di konti MACC.fm hari ini, Latheefa berkata pelantikannya menjadi isu hangat semasa hari raya bukan sahaja di peringkat umum, malah turut mengejutkan keluarga dan rakan-rakannya.

“Sambutan hari raya jadi lain sedikit sebab isunya bukan hari raya biasa (baginya) dan amat lain sekali apa yang saya lakukan selama ini,” katanya ketika ditemu bual Ketua Seksyen Penerbitan Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Norizan Abu Samah, lapor Bernama.

Latheefa diumumkan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 4 Jun lepas, sehari sebelum umat Islam di Malaysia menyambut Aidil Fitri, dan menjadi wanita pertama mengepalai SPRM.

Menurut Latheefa, beliau agak terkejut apabila ditawarkan menerajui SPRM bagi menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya lebih awal, dan memerlukan sedikit masa untuk memikirkan perkara itu.

“Bukan mudah, memang tiada tempoh masa yang panjang dan akhirnya saya tiada pilihan untuk bersetuju dengan satu tanggungjawab yang diberikan kepada saya,” katanya yang sebelum ini merupakan peguam hak asasi terkenal.

“Saya memandang isu rasuah sebagai isu yang masih dekat dengan isu hak asasi manusia kerana bagi saya sesebuah masyarakat perlu bebas rasuah dan rakyat perlu diberi hak untuk hidup dalam masyarakat bebas rasuah,” katanya.

Latheefa turut menarik perhatian apabila menceritakan mengenai pengalaman berbeza pertama kali bertugas dalam sektor awam seperti mengetip kad perakam waktu.

“Masa hendak ‘clock in’ pun saya terbalikkan kad, jadi semua perkara yang saya buat (di SPRM) adalah sesuatu perkara yang baharu,” katanya secara berseloroh.

Ditanya mengenai kritikan sesetengah pihak terhadap kredibilitinya yang melihat beliau sebagai lantikan politik, Latheefa berkata beliau telah menjangka akan ada reaksi negatif kerana ia satu yang luar biasa daripada pandangan mereka.

Menurutnya, beliau tidak lagi aktif sebagai ahli PKR selama lebih setahun dan tidak mengambil bahagian dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya, dan mengumumkan berhenti secara rasmi daripada parti itu apabila mendapat pengesahan pelantikan sebagai KP SPRM.

“Isu ini tidak gugat kredibiliti saya kerana akhirnya rakyat yang akan menentukan sama ada saya dapat lakukan tugas ini,” katanya.

Mengenai personalitinya, Latheefa berkata ramai yang melihat beliau sebagai seorang yang garang dan berterus terang, selain dianggap sebagai seorang yang suka marah.

“Ada persepsi itu dan saya tak nafikan ada kemungkinan itu. Ramai juga yang melihat saya dalam internet atau televisyen, tetapi bila melihat saya secara bersemuka mungkin ada perbezaan pandangan.

“Terpulang kepada mereka yang melihat,” katanya, sambil menambah agak sukar untuk mengubah imej garang itu pada dirinya.

Latheefa juga menganggap dirinya sebagai seorang yang ‘membosankan’ kerana lebih hanya gemar kepada warna putih, hitam dan kelabu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");