Mayat mangsa, Mohd. Syaipul Azizi Murad, 38, ditemui pasukan mencari dan menyelamat dalam keadaan terbaring di kawasan cerun kira-kira pada pukul 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan lelaki itu pada lewat malam Isnin lalu.

“Kali terakhir dia bertemu dengan penduduk kampung pada Jumaat lalu dan dia dikatakan masuk ke kawasan hutan berkenaan untuk mencari buah durian.

“Kehilangannya disedari keesokan harinya selepas dia tiada di rumah dan usaha mengesannya segera dijalankan oleh penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Tambah Mohd. Khaizam, operasi mencari dan menyelamat terus digerakkan sebaik sahaja laporan kehilangan lelaki itu pada Isnin lalu dan dia ditemui di kawasan cerun kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

“Pemeriksaan mendapati mangsa yang masih lengkap berpakaian itu telah meninggal dunia dan terdapat kesan calar pada tubuhnya.

“Tiada kecederaan lain dialami mangsa namun siasatan lanjut dijalankan dan mayatnya dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk proses bedah siasat,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut lapor Kosmo Online.