Berita Hari Ini

Malaysia Berhak Dapatkan Kembali Wang Projek Tidak Siap – PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan berhak mendapatkan kembali wang yang terlebih dibayar kepada syarikat China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP).

Perdana Menteri berkata, dua projek saluran paip tenaga hanya disiapkan sebanyak 13 peratus oleh syarikat berkenaan sedangkan bayaran sudah dibuat 80 peratus daripada nilai projek.

“Oleh kerana projek ini sudah dibatalkan kita mahu mendapatkan kembali wang yang sudah dibayar

“Saya tidak nampak sebab China akan berasa tidak puas hati, kita tidak mengambil wang untuk kerja yang sudah dibuat tetapi kita mengambil wang bagi kerja yang tidak dibuat.

“Jika duit yang sudah diberikan itu tidak digunakan (untuk projek), kerajaan berhak mendapatkan kembali wang berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di sini, pada Isnin, lapor BH Online.

Akhbar Singapura, The Straits Times, sebelum ini melaporkan pihak berkuasa Malaysia merampas lebih RM1 bilion milik CPP.

Menurut laporan itu, kerajaan Malaysia mengarahkan HSBC memindahkan wang dalam akaun CPP di Malaysia kepada syarikat Suria Strategic Resources Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya Kementerian Kewangan.

Berdasarkan laporan sebelum ini, CPP dianugerahkan kontrak daripada kerajaan terdahulu pada tahun 2016 bagi membina saluran paip petroleum sepanjang 600 kilometer di sepanjang pantai barat Semenanjung dan saluran paip gas sepanjang 662 kilometer di Sabah.

Bagaimanapun, projek itu digantung pada Julai lalu oleh kerajaan pimpinan Dr Mahathir.

Kementerian Kewangan hari ini juga memaklumkan tidak mengeluarkan arahan berhubung rampasan lebih RM1 bilion daripada akaun bank tempatan milik syarikat CPP.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata maklumat mengenai perkara itu perlu diajukan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");