Berita Hari Ini

Malaysia Tak Usir Zakir Naik Kerana Negara Lain Tak Terimanya, Kata PM

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia tiada pilihan kecuali membenarkan Dr Zakir Naik tinggal di Malaysia kerana negara lain tidak mahu menerima pendakwah kontroversi itu yang diburu pihak berkuasa India.

“Kami mempunyai populasi berbilang bangsa dan agama di Malaysia. Kami tidak mahu sesiapa tampil dan beri pandangan ekstrem mengenai hubungan kaum dan agama lain,” kata perdana menteri dalam wawancara bersama saluran berita Turki, TRT World, baru-baru ini ketika ditanya pandangannya mengenai Zakir dituduh menyebarkan kebencian.

“Jadi, sehingga tahap itu kita tidak boleh menerimanya, tetapi susah untuk menghantarnya ke tempat lain kerana banyak negara tidak mahu menerimanya.”

Pihak berkuasa India memfailkan pertuduhan pengubahan wang terhadap Zakir yang diberikan status penduduk tetap di Malaysia.

Pada 2 Mei lalu, Direktorat Penguatkuasaan (ED) India memfailkan pertuduhan pengubahan wang ke atas Naik tanpa kehadirannya di mahkamah kerana memperoleh aset jenayah bernilai Rs1.9 bilion (RM114.5 juta).

Putrajaya menolak permohonan India untuk mengekstradisi Zakir ke negara itu dan Mahathir mempersoalkan jika beliau akan mendapat perbicaraan adil.

Zakir menafikan dakwaan itu, tetapi menyuarakan kesediaan untuk berdepan pertuduhan dan mahu New Delhi memberi jaminan tidak akan menahannya sehingga beliau didapati bersalah.

Mahathir dalam wawancara itu sempena lawatan rasmi pertamanya ke Turki selepas kembali menerajui Malaysia tahun lalu, turut menyentuh tindakan Beijing ke atas etnik Uighur beragama Islam di wilayah Xinjiang dan pendiriannya mengenai konflik Sunni-Syiah.

Katanya, reaksi Malaysia terhadap tindakan China sama dengan maklum balasnya kepada Amerika Syarikat.

“Tiada persoalan kami mengambil sebarang tindakan ganas terhadap China, tetapi jika kami mempunyai fakta, kita perlu mengutuknya.”

Beliau turut mengkritik pihak yang menghasut permusuhan antara Sunni dan Syiah kerana kedua-duanya adalah umat Islam.

“Sudah tentu mereka mendakwa ia adalah tafsiran betul mengenai Islam dan kita boleh mempertikaikannya, tetapi hakikatnya ialah dunia menganggap Sunni dan Syiah sebagai umat Islam.”

Katanya, pihak yang melabelkan umat Islam sebagai pengganas mengabaikan perbezaan mazhab dan menganggap Islam menggalakkan keganasan, tidak kira mereka ialah Sunni atau Syiah lapor FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");