Berita Hari Ini

Markas PAS Terus Hidup, Mat Sabu Reda Tapi Sedih

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata beliau berasa sedih kerana banyak markas PAS di sekitar Kedah kini digunakan bersama Umno yang dulu dilawan mereka.

Bekas timbalan presiden PAS itu berkata beliau ingat lagi bagaimana beliau dan kepimpinan parti itu dahulu berceramah bagi memungut derma bagi membinanya bagi menjadi pusat tarbiah rakyat.

“Alhamdulillah, walaupun kami tidak lagi bersama dengan parti tersebut, kami reda markas-markas ini terus dihidupkan.

“Tetapi sebulan dua ini agak sedih bila ia digunakan bersama Umno yang kami lawan dahulu, termasuklah membawa ‘Bossku’ yang terpalit dengan kes rasuah terbesar di abad ini ke markas yang dibina dengan wang rakyat tersebut,” katanya.

Katanya, menulusuri jalan-jalan daripada Pendang, Sungai Tiang, Jeneri, Sik, Parit Panjang dan Baling, masih tersergam markas-markas PAS yang dibina sejak puluhan tahun lalu.

“Ketika itu untuk membina markas, PAS hanya mengharapkan sumbangan orang ramai,” katanya.

Mohamad yang juga menteri demikian mengimbas kenangan lama itu setelah mengadakan lawatan kerja ke Kedah.

Beliau dibawa menziarahi Madrasah Misbahul Falah atau dikenali Pondok Lanai, Baling, yang menurutnya lokasi perhimpunan ulama yang memutuskan almarhum Ibrahim Libya yang mati ditembak di Kampung Memali sebagai syahid.

Madrasah itu terletak tidak jauh dari perkuburan 13 orang mangsa insiden berdarah itu yang menyaksikan pertembungan berdarah pihak berkuasa dengan sekumpulan penyokong PAS.

“Hampir 40 tahun di dalam parti lama, daerah Baling dan kawasan sekitarnya adalah kawasan yang sering saya hadiri dalam siri siri kempen parti politik atau ziarah.

“Lawatan kelmarin cukup berbekas di hati khususnya mengenangkan rakan-rakan lama yang sudah pergi mengadap Ilahi, peristiwa Memali dan pelbagai peristiwa lain yang kami lalui di daerah ini,” katanya.

Mohamad juga mengenang insiden kepungan polis terhadap ceramah Bersih yang diadakan di Markas PAS Kupang, Baling, semasa beliau masih menjadi pemimpin pembangkang.

“Saya yang menjadi penceramah pada malam tersebut dikepung dan diiring ke balai polis bersama rakan-rakan pimpinan yang lain selepas tamat program,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, lawatan kali ini terdapat isyarat bahawa perubahan sedang berlaku lapor MKini.

“Semoga dengan rasminya terbentuk gabungan PAS dan Umno minggu lalu, menyedarkan ramai pihak yang tidak mempercayainya sebelum ini, sekali gus melahirkan gelombang baru perjuangan rakyat di daerah istimewa ini,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");