Membawang Hari Ini

Maya Karin Diterima Di Hollywood

PELAKON dan penyanyi popular Maya Karin menerima pengalaman luar biasa selepas terbabit dalam penggambaran filem Hollywood berjudul Alone di Los Angeles, Amerika Syarikat, semalam.

Memetik laporan Harian Metro, Maya, 39, ketika dihubungi Harian Metro berkata, walaupun hanya melakonkan satu babak, dia terharu apabila ditatang bagai minyak penuh oleh keseluruhan produksi filem berkenaan.

Turut berlakon dalam filem arahan Johnny Martin itu ialah Tyler Posey yang popular dengan siri MTV, Teen Wolf dan pelakon veteran Donald Sutherland.

“Pengalaman saya luar biasa. Semua kru sangat profesional dan saling menghormati. Mereka betul-betul menjaga saya dan saya turut diberikan bilik persalinan yang sangat besar untuk saya seorang saja.

“Apa yang saya mahu, mereka akan dapatkan. Pengawal juga menjaga saya sepanjang masa, pengarah seorang yang sangat positif manakala rakan pelakon termasuk Tyler sangat baik hati.

“Walaupun penggambaran hanya mengambil masa satu hari, tetapi saya dapat mengambil kesempatan itu untuk luaskan rangkaian dan saya harap perkenalan dengan ramai orang di sana akan berguna pada masa depan,” katanya yang kini berada di Los Angeles.

Maya turut berkongsi tawaran berkenaan sebenarnya datang pada saat-saat akhir daripada syarikat produksi terbabit.

“Cerita mengenai tawaran itu sebenarnya agak pelik. Saya tidak pergi uji bakat, tetapi peluang itu datang daripada rangkaian saya di peringkat antarabangsa yang saya kenal dua tahun lalu.

“Penerbit dan pengarah filem berkisar mengenai Zombie itu memang ada hasrat untuk membabitkan Malaysia. Jadi mereka mahukan pelakon wanita Malaysia untuk babak itu dan mereka terfikirkan saya dan terus menawarkan babak itu,” katanya.

Walaupun cuma terbabit dalam satu babak, Maya amat bersyukur diberi kepercayaan memegang watak berkenaan.

“Babak itu sangat penting di mana saya menjadi saintis yang buat kajian mengenai virus. Walaupun satu babak saja namun ia memerlukan dialog yang panjang dan mereka sanggup terbangkan saya dari Malaysia ke sana untuk menjayakannya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");