Berita Hari Ini

Mekanisme Subsidi Petroleum Bersasar Dibentang Kepada Kabinet

PUTRAJAYA: Kertas bagi pelaksanaan mekanisme subsidi petroleum bersasar baharu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bulan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata mekanisme berkenaan akan dilaksana sebaik saja mendapat persetujuan Kabinet.

“Kita dalam fasa akhir merangka memo kepada Jemaah Menteri bagi pelaksanaan subsidi bersasar RON95 ini. Rabu minggu lalu kami sudah bentangkan kajian yang dimuktamadkan berhubung mekanisme ini kepada Kementerian Kewangan.

“Jadi kertas ini akan dibentangkan pada mana-mana minggu mesyuarat Jemaah Menteri dalam bulan ini.

“Kalau semua berjalan lancar, kita boleh mulakan seberapa segera (mekanisme), biarpun (tempoh) lari sedikit dari jangkaan. Dalam bajet lalu kita kata (pelaksanaan) suku kedua tahun ini. Jadi bagi kita sedikit ‘masa kecederaan’ ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Setahun Saifuddin Nasution di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini hari ini.

Beliau berkata, mekanisme lengkap pelaksanaan subsidi bersasar itu nanti akan diumumkan KPDNHEP selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

“Antara cadangan komponen mekanisme itu ialah mengenal pasti data yang akan diguna pakai, keduanya, mesti ada duit, jadi kami perlu kira setiap bulan berapa Kementerian Kewangan bayar. Kiraan kami nanti akan mengambil kira implikasi kewangan.

“Ketiga ialah strategi komunikasi. Bagaimana kami nak minta bantuan media untuk menghebahkan sehingga rakyat terima bahawa apa yang kerajaan laksanakan ini untuk rakyat. Kalau ada yang tertinggal nama, harap media dapat bantu dan lapor segera kepada sekretariat supaya nama dimasukkan dalam senarai.

“Begitu juga dengan pemilikan kenderaan yang bagaimana? Itu semua kami akan perincikan dalam kertas itu. Sebab itu akan ambil sedikit masa. Malah saya tidak boleh mendahului Kabinet, kerana mungkin ada cadangan yang tak diterima dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menawarkan pelaksanaan kaedah pengurangan kadar kompaun secara automatik bermula semalam.

Katanya, kaedah itu diperkenalkan sebagai langkah memudahkan syarikat menyelesaikan kompaun dalam tempoh yang ditetapkan.

“Pendekatan ini bertujuan memberi dorongan kepada komuniti korporat untuk mematuhi peruntukan Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016 selain memberi kelebihan kepada mereka menikmati kadar pengurangan kompaun yang lebih tinggi tanpa perlu mengemuka rayuan.

“Mekanisme dan kadar pengurangan kompaun secara automatik ini ditetapkan bermula 30 hingga 85 peratus pengurangan dari nilai asal kompaun dikenakan.

“Pengurangan itu ditetapkan mengikut tempoh pembayaran iaitu satu hingga 40 hari mendapat 85 peratus pengurangan; 41 hingga 60 hari (75 peratus); 61 hingga 90 hari (60 peratus) dan 91 hingga 180 hari (30 peratus),” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");