Panasnya Hari Ini

Muhyiddin, Zahid Nafi Tandatangan SD Sokong Anwar Jadi PM Ke-8

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafikan dakwaan beliau pernah menandatangani sebarang dokumen akuan bersumpah (SD) menyokong peralihan kuasa Perdana Menteri.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, menegaskan beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang viral di media sosial kononnya menyokong peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya menandatangani SD mengenai peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang viral di media sosial hari ini. Dokumen itu adalah palsu.

“Saya sudah meminta pihak polis menyiasat penyebaran dokumen palsu ini, yang saya fikir bertujuan mencemarkan nama baik saya,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya di sini, malam tadi, lapor BH Online.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang baharu kembali selepas bercuti enam bulan, turut menafikan beliau pernah menandatangani SD menyokong kepemimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Ahmad Zahid juga menegaskan beliau tidak pernah menandatangani sebarang SD seumpama itu.

“Merujuk surat akuan sumpah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang tersebar luas ketika ini, dengan tegas saya menafikannya. Saya tidak menandatangani surat berkenaan.

“Ini adalah fitnah jahat yang dilakukan oleh mereka yang terdesak dan tidak bertanggungjawab bagi merosakkan diri saya selaku Presiden UMNO.

“Saya ingin nyatakan semua keputusan besar dan pendirian UMNO akan dibuat secara berpasukan. Bukan oleh saya secara individu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebooknya sebentar tadi.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas mengenai penyebaran SD di media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp yang mendakwa Presiden UMNO itu memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");