Panasnya Hari Ini

Najib Akan Fail Usul Ahli Parlimen Yang Dibicara Boleh Diberi Pelepasan Hadir Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak akan memfailkan usul di Mahkamah Rayuan berhubung persoalan sama ada seorang Ahli Parlimen yang berdepan tuduhan di mahkamah boleh diberikan pelepasan untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Menurut BH Online, ia berikutan keputusan Mahkamah Tinggi pada Isnin lalu menolak permohonannya untuk diberikan kebenaran menghadiri sidang yang membahaskan Rang Undang-Undang mewajibkan Ahli Parlimen mengisytiharkan aset.

Dalam prosiding pada Rabu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi, permohonan notis usul itu bukan rayuan terhadap keputusan mahkamah menolak permohonan anak guamnya dua hari lalu.

“Sebaliknya, pihak kami akan memfailkan permohonan baharu untuk berhujah bahawa ahli parlimen perlu dikecualikan daripada perbicaraan untuk menghadiri sidang Parlimen,” katanya.

Muhammad Shafee turut mengemukakan sebuah akhbar melaporkan bahawa rang undang-undang perisytiharan harta itu sudah diluluskan pada hari sama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berkata, proses pengundian hanya berlaku pada jam 6.30 petang dan Najib masih sempat menghadiri sidang itu pada hari terbabit jika mahu.

Muhammad Shafee kemudian membuat permohonan baharu bagi anak guamnya hadir sidang yang dijadualkan memberikan taklimat kepada Ahli Parlimen berhubung Rang Undang-Undang yang akan dibahaskan.

Sithambaram tidak membantah permohonan itu dan menyatakan pihaknya sentiasa bersikap wajar.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan permohonan itu dan membenarkan Najib menghadiri sidang taklimat yang berlangsung pada waktu makan tengah hari.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");