Berita Hari Ini

Najib Tandatangan Memo Pengambilalihan SRC Atas Bonet Kereta

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menandatangani dokumen deraf memorandum pengambilalihan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), iaitu SRC International Sdn Bhd (SRC) oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), sambil berdiri sebelah kereta.

Deraf memorandum empat muka surat itu ditandatangani Najib selepas ia diserahkan kepadanya oleh bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (TKSP) Dasar, Kementerian Kewangan, Datuk Mat Noor Nawi, di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, pada 3 Februari 2012.

Mat Noor, dalam keterangannya berkata beliau sebelum itu diberitahu pegawai 1MDB, dikenali dengan nama Zahid Taib, bahawa Najib ingin melihat jawapan Kementerian Kewangan terhadap permohonan pengambilalihan SRC itu sehari sebelumnya.

Saksi ke-44 pendakwaan itu berkata beliau berjumpa dengan Najib keesokan hari di sebelah Balai Menunggu lapangan terbang.

“Saya pergi ke kereta dan menunjukkan deraf memorandum itu dan dia (Najib) meneliti sambil berdiri sebelah kereta.

“Selepas meneliti empat muka surat itu, Najib membuat catatan di atas muka surat pertama sambil meletakkan memo atas bonet kereta di depan…Di situ dia menandatangani memo itu. Zahid Taib pula berdiri sebelah saya tetapi di belakang saya sikit,” katanya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim, pada sesi pemeriksaan utama, Mat Noor berkata Zahid adalah pegawai perhubungan antara 1MDB dan Kementerian Kewangan yang berurusan dengannya ketika beliau (Mat Noor) berkhidmat di bawah Unit Perancang Ekonomi.

Terdahulu, Mat Noor berkata beliau terkejut kerana Najib mencatat menyatakan persetujuan terlebih dulu dalam deraf memorandum sebelum menurunkan tandatangan.

Saksi itu berkata, Najib membaca setiap perenggan deraf memorandum yang diserahkan kepadanya.

“Saya terkejut kerana sebelum tandatangan di atas muka surat pertama lagi, dia (Najib) sudah membuat catatan bersetuju dengan cadangan pemindahan itu.

“Satu lagi, deraf surat ini tidak ada kepala surat saya sebagai TKSP dan yang kedua, ia tidak ada cop Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan.

“Oleh itu, saya balik ke pejabat dan berjumpa dengan Setiausaha Sulit Kanan Kementerian Kewangan, Datuk Sheikh Mohd Fuzi, untuk mendapatkan cop Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Sebelum itu, saya sudah serahkan kepadanya salinan asal deraf memorandum yang tiada kepala surat dan tarikh serta surat sama yang ada kepala surat TKSP,” katanya.

Sementara itu, Mat Noor berkata deraf memorandum menyatakan pengambilalihan SRC oleh 1MDB tidak membabitkan pembayaran wang tunai, sebaliknya melalui pemindahan saham.

Beliau berkata, perkara itu yang ‘ditebalkan’ (bold) dalam dokumen terbabit bertujuan memberikan penekanan bahawa ia tidak membabitkan peruntukan kewangan, sehubungan itu tidak perlu dibincang di Parlimen.

Katanya, bertentangan dengan apa yang dinyatakan dalam deraf memorandum, MKD tidak menjalankan siasatan (ketekunan wajar) terhadap SRC sebelum mengambil alih syarikat terbabit.

Mat Noor Juga berkata, sepanjang beliau menjadi TKSP Dasar, beliau tidak pernah mengetahui sama ada MKD pernah berbuat demikian.

Saksi itu berkata, keperluan bagi menjalankan siasatan perlu dibuat sebelum akhir tahun bagi memastikan nilai sebenar pelaburan kerajaan dalam SRC.

Jelas saksi lagi, beliau tidak tahu mengapa siasatan bagi pengambilalihan itu tidak dibuat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");