Berita Hari Ini

‘Negara Arab Juga Isytihar Harta, Adakah Mereka Komunis?’

Pemuda DAP membangkitan rasa hairan mereka terhadap kenyataan presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menyatakan pengiystiharan harta merupakan idea komunis dan sosialis.

Ketuanya, Howard Lee berkata kebanyakan negara Muslim di rantau Arab mewajibkan anggota parlimen dan penjawat tinggi awam mengisytiharkan harta walaupun mereka bukan negara komunis.

“Mesir, Maghribi, Palestin, Yaman, Libya, dan Tunisia adalah negara Muslim yang besar di rantau Arab dan tidak mengamalkan sosialisme atau komunisme oleh kerajaan dan pemerintahan mereka secara keseluruhan.

“Kesemua tujuh negara ini mewajibkan setiap ahli parlimen dan pegawai tinggi mereka untuk mengisytiharkan deposit bank dan pemilikan hartanah ketika memegang amanah jawatan awam,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya kesemua negara berkenaan kecuali Libya, malah mensyaratkan ahli politik untuk mengisytiharkan harta.

“Apakah Hadi menganggap kerajaan dan rakyat Mesir, Maghribi, Palestin, Yaman, Libya dan Tunisia komunis dan sosialis?” katanya.

Semalam Abdul Hadi dilapor berkata pengisytiharan harta sebagai konsep ataupun idea komunis dan sosialis.

Beliau berkata, dalam konteks negara ini, cadangan untuk mengisytiharkan harta dibayangi oleh pengaruh DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Isytihar harta secara umumnya teori komunis dan sosialis. Mungkin dibayangi DAP yang mempengaruhi kerajaan kita hari ini,” kata Abdul Hadi.

Menurut Howard, kenyataan Abdul Hadi menunjukkan anggota parlimen Marang itu seperti sengaja mengelirukan penyokong beliau, kurang bijak, berfikiran sempit dan sangat terpesong.

“Adakah beliau membuat pelbagai alasan untuk menghalalkan kedegilannya untuk mengisytiharkan aset beliau? Adakah beliau mempunyai sesuatu yang hendak disembunyikan,” katanya.

‘Kenyataan Hadi merapu’

Menurut Howard, beliau sendiri menolak sistem komunisme namun beliau menganggap kenyataan Abdul Hadi perlu diperbetulkan.

“Dalam negara komunis yang sebenar, tiada pemilikan aset peribadi langsung kerana segala alat pengeluaran dan aset adalah pemilikan bersama.

“Justeru, kenapa pula mereka ada keperluan untuk pengisytiharan pemilikan harta peribadi, memandangkan dalam komunisme semua pihak memiliki semuanya?

“Oleh itu, dakwaan Haji Hadi yang pengisytiharan harta itu adalah konsep komunis adalah merapu dan tidak masuk akal,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");