Berita Hari Ini

Padang Merbok, Jalan Raja Jadi Lokasi Perhimpunan Aman

KUALA LUMPUR: Padang Merbok dan Jalan Raja di ibu negara, dua lokasi perhimpunan aman baharu yang akan diwartakan oleh kerajaan, susulan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perhimpunan Aman (Pindaan), hari ini.

Ketika ini, Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang menjadi satu-satunya lokasi yang diwartakan sebagai tempat berhimpun mengikut Seksyen 25 akta berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sesi penggulungan perbahasan pindaan itu hari ini berkata, kawasan lain juga dibenarkan berhimpun dengan syarat mendapat permit dan kebenaran daripada pihak polis dan pihak berkuasa tempatan.

“Bagi penggunaan kanak-kanak dalam perhimpunan, ia seharusnya dielakkan, namun ada juga dibenarkan misalnya berkaitan hari kanak-kanak dan persembahan kebudayaan,” katanya.

Terdahulu, RUU Perhimpunan Aman (Pindaan) 2019, antaranya bagi memansuhkan kesalahan berkaitan protes jalanan diluluskan dengan pindaan di peringkat Jawatankuasa.

Ia membabitkan Fasal 4 bertujuan untuk meminda Seksyen 9 Akta 736 itu untuk memendekkan tempoh pemberitahuan bagi suatu perhimpunan daripada tujuh hari kepada lima hari. Sebelum itu, tarikh pindaan yang dicadangkan adalah daripada 10 hari kepada tujuh hari.

RUU itu dibahaskan hampir lima jam oleh 24 Ahli Parlimen mewakili kerajaan dan blok pembangkang. Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, mengumumkan RUU itu diluluskan selepas bacaan kali ketiga dan tiada bantahan.

Muhyiddin berkata, berdasarkan rekod tahun lalu, sebanyak 8,668 perhimpunan aman diadakan dan daripada jumlah itu, hanya satu kes yang dituduh di mahkamah kerana melanggar Seksyen 9 kerana kegagalan mengemukakan notis pemberitahuan kepada polis.

“Sehingga Mei lalu, sebanyak 1,592 perhimpunan aman diadakan. Polis membantu dalam memudahcara semua penganjuran perhimpunan aman berkenaan dan sepanjang tempoh itu, tiada kes yang didakwa di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dalam sesi perbahasan mencadangkan akta itu dimansuhkan jika terbukti ia menindas mereka yang terbabit dengan sebarang bentuk perhimpunan.

“Saya berani menyatakan Tan Sri (Muhyiddin) tokoh terbaik memimpin KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan menyokong pindaan ini secara bersyarat termasuk diperhalusi sepenuhnya sebelum diluluskan,” katanya.

Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) berharap pindaan itu tidak digunakan kerajaan untuk menindas pihak lain, sebaliknya berlaku adil kepada semua pihak.

“Kita tidak mahu pindaan akta ini dimanipulasi untuk membalas dendam kepada pembangkang, sebaliknya berlaku adil kepada semua pihak,” katanya.

Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) berharap pindaan berkenaan tidak digunakan pihak tertentu untuk melakukan perkara yang boleh menggugat ketenteraman awam.

“Aspek kebersihan juga perlu diberikan keutamaan kerana kita tidak mahu tapak perhimpunan menjadi kotor yang menjejaskan kesihatan masyarakat dan menyakitkan mata,” katanya.

Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) pula mahu penganjur memastikan tiada berlaku kejadian tidak diingini sepanjang penganjuran perhimpunan.

“Saya percaya kerajaan tidak mahu menghalang hak rakyat untuk berhimpun sebagaimana termaktub dalam amalan demokrasi dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri, Muhyiddin berkata KDN sedang mencari alternatif berkesan untuk menyelesaikan kes kanak-kanak warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen di depoh tahanan.

Katanya, kementeriannya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), baru-baru ini untuk mengadakan projek rintis alternatif untuk penahanan (ATD).

Bagaimanapun, katanya, alternatif itu masih di peringkat perbincangan dengan mengambil kira jumlah peruntukan yang agak besar untuk menentukan tentukan setiap pusat tahanan berada di kawasan lain serta di bawah jagaan KPWKM.

“Ini kerana mereka (KPWKM) lebih pakar menjaga kanak-kanak, kami (agensi KDN) melakukan penguatkuasaan,” katanya. -BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");