KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik persetujuan kerajaan supaya golongan berumur 18 tahun berhak mengundi dan akan didaftar sebagai pemilih secara automatik.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata parti itu menyambut baik kesediaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerima cadangan supaya pindaan itu dibuat serentak dengan penurunan had usia mengundi kepada 18 tahun.
Bagaimanapun, katanya, PAS hanya akan memberi komitmen bersetuju dengan usul pindaan itu jika kerajaan turut menurunkan had usia menjadi calon pada pilihan raya kepada 18 tahun.
“Kita akan menyokong cadangan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan dengan beberapa syarat, pertama had usia mengundi turun kepada 18 tahun.
“Kedua adalah daftar pemilih automatik. Ketiga, had usia menjadi calon juga diturunkan kepada 18 tahun.
“Jika benar pindaan yang mahu dibawa kerajaan merangkumi ketiga-tiga perkara ini, kita sokong kerana ia memenuhi hasrat kita,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam, bahawa kerajaan bersetuju generasi muda berumur 18 tahun berhak mengundi dan akan didaftar sebagai pemilih secara automatik.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, pendaftaran secara automatik itu akan disekalikan dengan usul penurunan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun bagi pindaan Perlembagaan di Parlimen.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, menurunkan had usia mengundi dan daftar pemilih automatik pada usia 18 tahun adalah membabitkan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, manakala penurunan had usia calon pilihan raya pula adalah pindaan Perkara 47.
“Kerajaan tidak perlu tarik balik pindaan Perkara 119(1) yang sudah dibentangkan untik bacaan kali pertama sebelum ini, hanya bentangkan pindaan tambahan sahaja sebelum bacaan kali kedua,” katanya.- BHarian