Berita Hari Ini

PAS Tidak Jamin Kerjasama Dengan Pihak Lain Berkekalan

KOTA BHARU: Kehendak politik, terutama berkaitan penyatuan orang Melayu Islam dalam satu gagasan mungkin berubah dari semasa ke semasa, kata Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob.

Oleh itu, katanya, PAS tidak boleh menjamin kerjasama yang terjalin dengan mana-mana pihak ketika ini akan kekal selama-lamanya kerana ia bergantung kepada perkembangan politik semasa.

“Sekarang ini, (berkaitan) masalah politik, buat masa ini (kita kekal bekerjasama dengan UMNO dan parti lain dalam Gagasan Sejahtera) tetapi terpulanglah kepada masa depan, kepada suasana pada masa itu.

“Kita tak boleh jamin kita akan kekal macam ini tetapi kehendak politik semasa mungkin berubah.

“Setakat ini itulah yang ada pada kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelantan Charity Drive 2019 di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini, hari ini.

Ahmad mengulas mengenai pelawaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta semua parti politik Melayu termasuk UMNO untuk menyertai BERSATU dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.

Ahmad mengakui kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis.

“(Kenyataan) itu sebenarnya kita kena terima apabila orang (Melayu) sudah berpecah kita memang lemah. Sekarang ini usaha kita nak kumpul semula kekuatan, khususnya orang Melayu bagi mempertahankan keutuhan orang Melayu yang beragama Islam,” katanya. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");