IPOH- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menjelaskan bahawa pemberian elaun kritikal kepada anggota bomba dan penyelamat tidak mungkin dapat diberikan pada tahun ini.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, Perdana Menteri sedang mengkaji permintaan pemberian elaun kritikal kepada anggota bomba malah perkara tersebut masih lagi dalam peringkat perbincangan dengan perbendaharaan mengenai cara pelaksanaannya.
“Tahun ini tidak mungkin elaun tersebut akan berikan, tetapi jikalau perkara tersebut berlaku, itu adalah bonus yang besar kerana pada pandangan saya tidak mudah untuk mendapatkannya pada tahun ini,” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak di Meru hari ini.
Dalam perkembangan lain katanya, kerajaan negeri juga telah mencadangkan agar penambahan satu lagi ketegori pembinaan balai bomba iaitu kategori E bagi bajet tahun hadapan iaitu dikhususkan bagi tempat-tempat yang mempunyai lanskap yang berbeza seperti pulau, kawasan perairan dan rumah panjang.
“Mengikut keperluan yang sedia ada iaitu kategori A, B, C dan D iaitu kategori yang mana tertakluk kepada saiz, keperluan setempat dan kos tetapi bagi ketegori E ianya tidak sama seperti yang sedia ada kerana terlampau kecil dan tidak mengikut spesifikasi, malahan ianya dilihat lebih ekonomi dan praktikal mengikut servis.
“Pada tahun hadapan sebanyak 14 buah balai bomba kategori E akan dibangunkan iaitu sebanyak 10 buah di Semenanjung Malaysia dan empat buah di Sabah serta Sarawak,” katanya.
Selain itu tambah beliau, sebanyak 15 ribu helai baju kalis api telah disediakan dimana sebanyak enam ribu telah siap diagihkan dan lebihan sembilan ribu masih dalam proses penyerahan kepada semua balai bomba di seluruh negara.
“Pada bajet akan datang juga, kerajaan turut meletak fokus kepada pembelian jentera-jentera baru disebabkan keadaan jentera lama yang telah lusuh dan tidak boleh dipakai terutamanya di kawasan Sabah dan Sarawak dimana keadaan geografinya yang tidak begitu baik.
“Dari segi latihan dan rekrut baru, sebanyak 1100 pengambilan baru akan dilatih bermula dari bulan Jun dan hampir memenuhkan jawatan kosong di balai bomba yang baru,” katanya.
Ibu Pejabat Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Negeri Perak di Meru telah siap sepenuhnya dan beroperasi pada tahun 2016 di tapak seluas lapan ekar dengan kos pembinaan sebanyak RM17.5 Juta yang dikategorikan sebagai kelas A iaitu kategori teratas sekali.
Kira-kira seramai 200 orang anggota bomba dan kaki tangan yang bertugas di ibu pejabat berkenaan yang mana telah mula dibina pada September 2011
Sasaran pembinaan balai bomba di negeri Perak adalah sebanyak 36 buah balai menjelang tahun 2021 dan sebanyak 32 buah balai bomba telah siap dibagunakan di negeri ini.