Berita Hari Ini

Pemimpin Akar Umbi Akur Kepulangan Zahid

Pemimpin Umno di peringkat akar umbi akur keputusan Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menjalankan tugas sebagai presiden, namun mengingatkan beliau agar lebih peka terhadap suara akar umbi.

Ketua Umno bahagian Tebrau, Maulizan Bujang yang sebelum ini mendesak Ahmad Zahid supaya “lepaskan” Umno, akur dengan keputusan bekas timbalan perdana menteri itu untuk kembali bertugas.

“Sememangnya presiden mempunyai hak untuk kembali bertugas dan saya menghormati keputusan beliau. Soal penerimaan ahli dan rakyat adalah tergantung kepada masa dan keadaan yang akan menentukan.

“Saya berharap beliau dapat mengukuhkan semula perpaduan di kalangan ahli dan dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

“Saya juga berharap presiden dari semasa ke semasa dapat sentiasa mendengar suara akar umbi dan rakyat,” katanya kepada Malaysiakini.

Maulizan berharap, Ahmad Zahid akan dapat meningkatkan lagi sokongan rakyat terhadap Umno seperti dilakukan timbalanya, Mohamad Hasan.

Maulizan pada 20 Mei lalu mengeluarkan kenyataan terbuka meminta Ahmad Zahid yang ketika itu sedang sedang bercuti supaya “melepaskan” kepimpinannya dalam Umno.

Beliau mendakwa terdapat gerakan oleh penyokong Ahmad Zahid untuk membawa balik Anggota Parlimen Bagan Datuk itu menjalankan tugas sebagai presiden.

Tak rasa janggal

Ahmad Zahid semalam mengumumkan untuk kembali bertugas sebagai presiden Umno selepas lebih enam bulan bercuti.

Pengumuman itu dibuat ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Food Court Perdana BD, Kompleks Umno Bagan Datuk, Sungai Sumun.

Sementara itu, mengulas kepulangan Ahmad Zahid, nada sama turut disuarakan Ketua Umno Bachok, Mohd Zain Yasim, yang berkata presiden Umno itu berhak kembali menerajui parti kerana dipilih secara demokratik.

“Itu hak beliau dan saya kira Umno tidak berasa janggal dengan kepulangan Ahmad Zahid menerajui parti.

“Malah, pemimpin Umno di peringkat akar umbi juga turut menyokong keputusan itu tiada sebarang bantahan,” katanya.

Jelasnya lagi, pemimpin Umno di peringkat akar umbi perlu ikhlas membawa obor perjuangan parti dengan satu matlamat yang jelas untuk merampas kembali Putrajaya.

Ketua Umno bahagian Subang, Armand Azha Abu Hanifah pula menyifatkan sekarang adalah masa untuk kembali menyatukan Umno.

Katanya, hubungan antara pemimpin membabitkan Najib Razak, Tengku Razaleigh Hamzah, Hishammuddin Hussein, Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin dengan kepemimpinan Umno kini perlu dieratkan kembali.

Tambahnya, Umno perlu benar-benar bersatu untuk menghadapi musuh yang satu iaitu, PH.

“Saya berpandangan Umno kena ambil langkah lebih kehadapan dengan memastikan kita benar-benar ke arah perpaduan ummah. Bagi rakyat nampak pemimpin Umno bersungguh-sungguh adakan perubahan besar,” jelasnya.

Timbalan Ketua Umno bahagian Jempol, Shamsulkahar Mohd Deli pula menyifatkan keputusan Ahmad Zahid untuk kembali tidak seharusnya menjadi isu kerana Mohamad hanya menjalankan tugas presiden.

“Kena faham Tok Mat (Mohamad) hanya menjalankan tugas, bukannya memangku tugas presiden, jadi bagi saya ia tidak seharusnya dijadikan polemik.

“Ia seperti mana kata Tok Mat sebelum ini bahawa kepulangan Ahmad Zahid menutup adu domba yang boleh melemahkan parti,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Kangar, Dr Fathul Bari Mat Jahaya pula menyarankan supaya satu tempoh waktu ditetapkan bagi mana-mana pemimpin yang bercuti selepas ini.

Jelas Fathul ia penting supaya mereka yang menjalankan tugas ketika itu tahu peranan dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan jelas.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");