Perak Hari Ini

Penggiat Pelancongan Tempatan Diseru Perkasa Sektor Pelancongan Pengalaman

IPOH: Para penggiat industri pelancongan di negeri ini disarankan untuk giat mempromosikan dan memperkasakan sektor pelancongan pengalaman yang ada di Perak.

Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis berkata Perak mempunyai potensi yang mampu menarik bukan sahaja pelancong dalaman malah pelancong dari luar negara.

Katanya, pengagihan hasil cukai pelancongan yang diterima Perak pada Jun lalu sebanyak RM1.25 sepatutnya boleh setanding Melaka yang menerima RM5.35 juta.

“Para pemain industri pelancongan di sini kita galakkan untuk mereka mengadakan promosi terhadap produk-produk mereka menerusi digital.

“Kita juga mahu para pelancong tidak sekadar singgah di Perak sebaliknya tinggal di sini dalam tempoh masa tertentu sebelum pergi ke tempat lain.

Katanya produk pelancongan yang ada di negeri ini bukan sahaja terkenal malah mendapat beberapa pengiktirafan di peringkat antarabangsa seperti yang pernah diterima Ipoh dan Taiping.

Ujarnya lagi Perak juga merupakan salah satu destinasi yang tepat bagi pelancong yang gemar akan sukan lasak seperti aktiviti memanjat gunung dan arung jeram.

“Kita kena sedar bahawa trend pelancong masa kini adalah mereka mahukan pelancongan pengalaman.

“Mereka bukan mahukan bangunan yang tinggi-tinggi. Mereka ke sini mahu melihat sejarah, budaya dan merasainya menerusi pelancongan pengalaman.

“Di Perak kita ada semua itu. Kita ada mi Kuala Sepetang, industri kelapa Bagan Datuk, ‘sky mirror dan sebagainya. Ia sudah ada, cuma kini kita perlu mengurus dan giat mempromosikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Media Inbound Tourism Bootcamp 2019 (ITB) di Hotel Weil, di sini, hari ini.

Program siri ke 12 yang berakhir di Perak itu disertai kira-kira 60 orang pemain industri pelancongan tempatan.

Menerusi satu kenyataan media, penganjuran program yang berlangsung selama tiga hari itu bertujuan memberi bimbingan kepada pengusaha pelancongan dan pemain industri dalam meneroka kaedah baru dengan menggunakan aplikasi digital agar mampu menarik lebih ramai pelancong datang ke Malaysia menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Program ITB adalah inisiatif platform Tourism Productivity Nexus (TPN) dan ia digerakkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk mengubah cara para pemain industri pelancongan bekerja dan menerima corak baru pelancongan dunia yang lebih cenderung kepada kumpulan Free Independent Traveler (FIT),” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");