Berita Hari Ini

Perkhidmatan Awam Sudah Lakukan Yang Terbaik – Wan Azizah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata perkhidmatan awam sudah melaksanakan tugas dengan baik walaupun pentadbiran negara berubah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, adalah tidak adil membandingkan pencapaian perkhidmatan awam di negara ini dengan negara lain kerana badan beruniform seperti polis dan tentera turut tersenarai sebagai penjawat awam.

Katanya, adalah tidak adil menyatakan penjawat awam di negara ini tidak berfungsi dengan baik.

“Mereka sudah melakukan dengan baik walaupun ada peralihan kuasa. Malah, baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara sudah menyatakan dengan jelas, komitmen mereka dalam menjalankan tugas malah sentiasa menaiktaraf dan meningkatkan mutu perkhidmatan mereka.

“Sebab itu, persidangan seperti dianjurkan mereka ini diadakan bagi meningkatkan lagi kualiti penjawat awam,” katanya selepas melancarkan Persidangan Perkhidmatan Awam 2019 di Institut Tadbiran Awam (INTAN) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ditanya berhubung laporan Bank Dunia baru-baru ini yang menyatakan penjawat awam di negara ini dikategorikan sebagai tidak efektif.

Laporan Bank Dunia itu turut meletakkan Malaysia pada kedudukan terendah dalam indikator kebertanggungjawaban, kesaksamaan, ketelusan dan keterbukaan membabitkan perkhidmatan awam.

Terdahulu ketika berucap, Dr Wan Azizah berkata, perkhidmatan awam perlu mewujudkan budaya tadbir urus yang baik dan mapan dalam membantu mencapai kemakmuran negara.

Katanya, tadbir urus yang baik membolehkan Malaysia meningkatkan tahap daya saing dalam pasaran ekonomi antarabangsa.

“Adalah penting untuk perkhidmatan awam memperkukuhkan proses maklumat dan pemantauan untuk meningkatkan mekanisme semak dan imbang selain menggalakkan dasar integrasi dan kerjasama bagi mengurangkan birokrasi serta pertindihan tugas.

“Perkhidmatan awam juga perlu mewujudkan struktur yang mantap untuk mengelakkan kelemahan dan pelaksanaan yang berkesan di semua peringkat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Wan Azizah berkata, perkhidmatan awam adalah entiti penting menghubungkan kerajaan dan rakyat.

Katanya, perkhidmatan awam perlu bertindak melaksanakan aspirasi kerajaan bagi memenuhi kehendak rakyat.

“Dalam era peralihan sosio-ekonomi dan politik; perubahan alam sekitar; perkembangan teknologi dan banyak lagi perubahan yang tidak dapat dijangka, adalah menjadi tanggungjawab perkhidmatan awam untuk memastikan sistem penyampaian terus berjalan baik dan apa saja cabaran diatasi supaya ia tidak dapat menggagalkan usaha memajukan negara ini,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan kerajaan adalah memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara dan bertambah baik, begitu juga dengan pertumbuhan ekonomi.

“Sebab itu dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), kerajaan sudah mengenal pasti keutamaan baru yang mengutamakan rakyat seperti meningkatkan kehidupan keluarga, kesihatan dan alam sekitar.

“Strategi dan inisiatif telah dilaksanakan, dengan sasaran utama meningkatkan Indeks Kesejahteraan Malaysia sebanyak 1.7 peratus setahun dalam tempoh rancangan berkenaan.

“Selain itu, pembangunan inklusif dan kesejahteraan untuk semua sentiasa menjadi agenda utama kerajaan.

“Untuk tujuan ini, kerajaan menumpukan kepada kumpulan B40. Sebagai contoh, Dasar Komuniti Kebangsaan (NCP) yang dilancarkan pada Februari 2019 bertujuan untuk membantu mengubah kehidupan kumpulan B40 dan meningkatkan kualiti hidup atau taraf hidup mereka,” katanya.-BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");