Berita Hari Ini

Putuskan Nasib Zahid Pada Pemilihan UMNO – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menamatkan cuti sebagai Presiden UMNO, boleh menentukan kedudukannya pada pemilihan parti akan datang.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketika ini, semua ahli dan pemimpin parti perlu kekal bersatu dan memberi fokus pada isu yang lebih besar daripada kedudukan Ahmad Zahid.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang, berkata UMNO perlu memberi tumpuan memperkukuh kekuatan parti.

“Kalau tak puas hati (dengan keputusan Ahmad Zahid), parti kita ada perlembagaan. Setiap tiga tahun, ada pemilihan dalam parti.

“Jadi ketika itu nanti, kita fikirkan (kedudukan Ahmad Zahid). Cuma dalam keadaan sekarang, tak perlu fikir soal jawatan dan soal pertandingan, banyak isu lain.
“Soal utama sekarang bukan wajar atau tak Presiden kembali atau siapa patut jadi Presiden kerana ini sudah diputuskan sewaktu pemilihan UMNO yang lalu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau ditanya sama ada keputusan Ahmad Zahid itu adalah sesuai pada waktunya memandangkan UMNO kini dilihat semakin kukuh di bawah pimpinan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Ketika pemilihan parti pada 30 Jun tahun lalu, jawatan Presiden UMNO menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan Ahmad Zahid berjaya mengatasi bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah serta dua yang lain.

Ahmad Zahid menang selepas mendapat 93 undi, jauh meninggalkan dua pencabar utamanya, Khairy yang memperoleh 51 undi dan Tengku Razaleigh yang meraih 23 undi.
Dalam pada itu, Ismail Sabri membayangkan wujud kumpulan dalam UMNO yang tidak senang dengan kembalinya Ahmad Zahid menerajui tampuk pimpinan parti.
“Ia adalah masa yang sesuai (untuk Ahmad Zahid menamatkan cuti sebagai Presiden UMNO) bagi mereka yang bersetuju untuk beliau kembali, dan ia bukan waktu yang baik untuk mereka yang tidak bersetuju beliau kembali.

“Jika semua pihak menyokong Ahmad Zahid, maka tiada isu (ahli UMNO berpecah), tapi jika semua ada pandangan masing-masing dan berterusan dengan perbezaan, parti akan berpecah,” katanya.- BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");