Berita Hari Ini

RM925 Juta Dana 1MDB Sudah Dikembalikan – Guan Eng

PUTRAJAYA: Sebanyak RM925 juta dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dikembalikan setakat ini kepada Kementerian Kewangan, hasil usaha pihak berkuasa negara ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata usaha sedang giat dijalankan bagi mendapatkan kembali dana diselewengkan bagi membayar balik hutang 1MDB berjumlah lebih RM51 bilion, termasuk faedah pinjaman akan datang yang dijamin Kerajaan Persekutuan.

Selain Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), turut terbabit dalam usaha itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara.

“Setakat ini, jumlah keseluruhan dana berkaitan 1MDB yang berjaya didapatkan kembali adalah berjumlah RM925.1 juta (termasuk RM6.1 juta yang dipulangkan kepada Yayasan 1MDB) dalam mata wang pelbagai denominasi.

“Pecahannya adalah seperti berikut iaitu Singapura (RM92.3 juta); Amerika Syarikat – Park Lane Hotel, Manhattan (RM567.8 juta), Red Granite Films (RM238 juta); Malaysia – kepada Yayasan 1MDB (RM6.1 juta) dan kepada 1MDB (RM20.9 juta),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Guan Eng berkata, entiti politik seperti Barisan Nasional (BN) seperti UMNO, MCA dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) juga menerima dana yang berpunca daripada 1MDB.

“Kini, akaun bank parti politik terbabit sudah pun dibekukan oleh SPRM dalam usaha mendapatkan kembali dana berkenaan,” katanya.

Katanya, RM6.1 juta yang diterima kembali Yayasan 1MDB adalah daripada pelbagai pihak, namun Yayasan 1MDB belum lagi menerima sebarang bayaran daripada Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (KOJADI).

“Pada 16 Ogos 2012, satu perjanjian geran kewangan antara Yayasan 1MDB dan KOJADI untuk jumlah sebanyak RM15 juta ditandatangani. Selepas itu, dana itu diberikan kepada KOJADI oleh Yayasan 1MDB, dibayar masing-masing sebanyak RM5 juta pada 17 Ogos 2012, 22 Oktober 2012 dan 15 Mac 2013,” katanya.

Beliau berkata, cukup jelas KOJADI dipengaruhi MCA dan campur tangan parti itu dalam urusan KOJADI disahkan sendiri oleh Pengerusinya, Datuk Ng Peng Hay, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka dari Melaka.

“KOJADI perlu mengambil iktibar daripada usaha berani Pengerusinya untuk memulangkan semula wang kepada Yayasan 1MDB demi membersihkan nama KOJADI.

“Pada akhir Jun lalu, Pengerusi KOJADI menyatakan beliau dihalang oleh Presiden MCA daripada usaha memulangkan RM15 juta kepada Yayasan 1MDB. Pada 3 Julai lalu, SPRM membekukan akaun bank KOJADi, seterusnya pada 9 Julai, Pengerusi KOJADI digantung jawatannya oleh Lembaga Pengarah KOJADI akibat tindakan beliau yang jujur.

“Komitmen Pengerusi KOJADI untuk melakukan perkara yang betul dengan berusaha memulangkan wang kepada Yayasan 1MDB, sungguhpun berhadapan dengan pelbagai tindakan ke atasnya, harus dipuji,” katanya.

Guan Eng turut menegaskan bahawa dana berjumlah RM925 juta itu tidak termasuk hasil jualan kapal layar mewah, Equanimity kepada Genting Malaysia Bhd pada harga AS$126 juta (RM527.4 juta).

“Hasil jualan itu sudah diterima sepenuhnya pada 23 April lalu dan kini disimpan dalam Sheriff’s Stakeholder Account (dalam sebuah syarikat guaman terkemuka di Malaysia) untuk tempoh tiga bulan bagi tujuan penyesuaian dengan tuntutan perbelanjaan penyelenggaraan kapal yang akan ditentukan melalui perintah mahkamah.

“Baki hasil jualan setelah ditolak jumlah perbelanjaan yang terbabit dijangka akan didepositkan ke dalam `Recovery Account’ milik 1MDB atau Kementerian Kewangan pada Ogos nanti.

“Bila diterima AS$126 juta ini nanti, ia akan digunakan untuk melunaskan sebahagian daripada hutang 1MDB,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");