Panasnya Hari Ini

Saksi: Najib Arah KWAP Serah Wang Awal Kepada SRC Sebelum Surat Jaminan Keluar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi diberitahu bekas perdana menteri Najib Razak mengarahkan supaya Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) mempercepatkan pengeluaran wang pinjaman kepada SRC International Sdn Bhd, lebih awal sebelum surat jaminan kerajaan dikeluarkan yang merupakan amalan luar biasa.

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Kementerian Kewangan yang juga bekas pengerusi KWAP Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67, berkata Najib mengarahkan demikian dalam satu panggilan telefon namun beliau tidak mengingati bila panggilan telefon itu dibuat.

Panggilan telefon itu merujuk kepada permohonan SRC untuk mendapatkan pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP pada 2011.

“Saya menerima panggilan dari Datuk Seri Najib supaya Kementerian Kewangan keluarkan surat kepada KWAP supaya KWAP dapat keluarkan lebih awal pinjaman yang dipohon, dan akan disusuli dengan surat jaminan kerajaan secepat mungkin,” kata saksi itu.

Wan Abdul Aziz merupakan saksi pendakwaan ke-45 berkata demikian ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim pada perbicaraan hari ke-35 kes Najib melibatkan dana SRC hari ini.

Kepada soalan Suhaimi adakah pengeluaran pinjaman sebelum surat jaminan kerajaan dikeluarkan itu adalah amalan biasa, saksi itu berkata tidak, sebaliknya ia adalah satu “amalan luar biasa”.

Ketika ditanya kenapa arahan luar biasa itu tetap dilakukan, Wan Abdul Aziz berkata ia kerana kerajaan menjadi penjamin kepada pinjaman terbabit dan ia diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Suhaimi turut menyoal sama ada bekas setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan, Maliami Hamad mengetahui berhubung panggilan telefon dari Najib itu.

“Saya beritahu Maliami bahawa Datuk Seri Najib arahkan Kementerian Kewangan mengeluarkan surat bagi tujuan pengeluaran wang itu dan saya minta Maliami keluarkan surat pada hari sama panggilan dibuat,” kata Wan Abdul Aziz.

Najib, 66, menghadapi 3 pertuduhan pecah amanah, 1 pertuduhan salah guna kuasa dan 3 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd yang berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung lapor FMT.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");