Berita Hari Ini

Sebutan kes Lokman, 3 Lagi Individu Pada 19 Ogos

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menetapkan 19 Ogos depan untuk sebutan kes Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, dan tiga lagi yang didakwa susulan insiden beberapa penuntut Universiti Malaya (UM) dikatakan dikasari di sebuah perhentian bas di Pantai Baharu, Mac lalu.

Majistret Tawfiq Affandy Chin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Adam Mohamed, memaklumkan bahawa laporan perubatan masih belum diterima untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Pihak pendakwaan menyerahkan dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan, termasuk laporan polis semua mangsa dalam kes ini.

“Bagaimanapun, laporan perubatan mangsa daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) masih belum diterima, jadi saya memohon tarikh sebutan lain,” katanya.

Pada 28 Mac lalu, Lokman, 46; Ketua UMNO Petaling Jaya, Abdul Mutalif Abdul Rahim, 48; kerani di pejabat UMNO Lembah Pantai, Salmon Arif Budiman Muchlis, 48; dan penghantar surat firma guaman, Mohd Norzakifah Mohammed Nawi, 44; mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dibacakan terhadap mereka.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Lokman didakwa dengan niat menyebabkan kerugian terhadap penuntut UM, Wong Yan Ke, 23, dengan mengoyakkan plakad milik mangsa di perhentian bas di hadapan Restoran Amjal di Jalan Pantai Baharu, di sini, jam 3.30 petang 22 Mac lalu.

Lokman didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Abdul Mutalif pula didakwa atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pelatih portal Malaysiakini, Siti Mariam Mohamad Nizar, 25, pada ibu jari tangan kanan mangsa dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama, di tempat sama pada jam 3.45 petang 22 Mac lalu.

Abdul Mutalif didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, dan Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tiga bulan atau denda atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Seterusnya, Lokman, Abdul Mutalif, Salmon Arif dan Mohd Norzakifah didakwa bersama dengan seorang yang masih bebas sebagai ahli perhimpunan menyalahi undang-undang menyebabkan kecederaan terhadap Yang Ke, dengan cara memegang rahang dan menarik leher mangsa dari arah belakang.

Mereka turut dituduh bersama seorang yang masih bebas, menarik rambut mangsa sama dari arah belakang di perhentian bas di hadapan Restoran Amjal, Jalan Pantai Baharu, pada jam 3.30 petang 22 Mac lalu.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam N Logendran dan Azrul Zulkifli Stork masing-masing mewakili Lokman serta Abdul Mutalif, manakala peguam Datuk M Reza Hassan bertindak bagi pihak Salmon Arif dan Mohd Norzakifah, tidak membantah permohonan untuk pengurusan kes seterusnya.- BHarian

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");