Berita Hari Ini

Selepas 444 Hari, PH Perlu Nilai Semula Manifesto

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) menilai dan menyemak semula janji yang tidak berjaya ditunaikan dalam tahun pertama pemerintahan.

Timbalan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Lim Kit Siang, berkata PH perlu meyakinkan rakyat bahawa kerajaan kini berada dalam hala tuju yang tepat untuk membina Malaysia baharu.

Pada masa sama, katanya, lima tunggak utama yang dijanjikan dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) PH masih lagi menjadi panduan dasar kerajaan.

“Selepas 444 hari sejak pertukaran kerajaan bersejarah 9 Mei 2018, tiba masanya untuk menilai semula janji Malaysia baharu PH dan Manifesto PRU-14 PH.

“Rakyat Malaysia, termasuklah pemimpin PH haruslah menyedari dan mengakui kekecewaan sejumlah besar penyokong PH yang sudah mengundi untuk perubahan di dalam PRU-14 pada 9 Mei lalu, kini merasakan kerajaan PH kini kembali mengikut jejak langkah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kita tumbangkan.

“Saya percaya mereka (pandangan rakyat) sebenarnya silap tetapi pada masa yang sama, kita mestilah boleh menyampaikan mesej dan meyakinkan mereka yang kekecewaan ini satu kesilapan dan kerajaan PH sentiasa komited dalam memperbetulkan hala tuju negara ke arah suatu Malaysia yang baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan di Simposium Ekonomi Malaysia “Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan” di Parlimen, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof dan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kit Siang berkata, penilaian semula secara menyeluruh terhadap manifesto PH untuk menambah keyakinan rakyat bertambah penting dengan penurunan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Katanya, bagi memenangi hati golongan muda, PH mestilah bersikap berterus-terang mengenai matlamat untuk suatu Malaysia yang kemakmuran dikongsi bersama sambil menggalas sokongan mereka dengan idealisme dan visi.

Beliau berkata, majalah The Economist, dalam edisi bertarikh 18 Disember 2018, menamakan Malaysia bersama dengan Ethiopia dan Armenia sebagai tiga negara tersenarai pendek sebagai ‘negara yang menerima tepukan’ kerana rakyat berjaya memecat Perdana Menteri yang tidak dapat menjelaskan mengapa terdapatnya USD700 juta di dalam akaun banknya.

Bagaimanapun, katanya, edisi terkini majalah itu menzahirkan kekecewaan terhadap apa yang dilihatnya sebagai kelewatan pelaksanaan reformasi.

“Majalah itu dilaporkan berkata jika PH tidak berjaya membangkitkan ekonomi negara, PH mungkin akan melihat diri menjadi pembangkang semula dan jika tidak memperbaiki demokrasi Malaysia, PH mungkin akan menjadi pembangkang untuk bergenerasi lamanya,” katanya.

Kit Siang berkata, Malaysia kini berada di satu persimpangan untuk mara ke hadapan sebagai sebuah negara bertaraf dunia dengan dasar pembangunan negara yang inklusif yang memanfaatkan kepelbagaian budaya, kaum, agama, dan bahasa.

Katanya, Malaysia juga boleh mundur ke belakang, menjadi sebuah negara kleptokratik yang taasub dengan politik perkauman dan agama yang memecah-belahkan perpaduan negara.-Mkini

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");