Berita Hari Ini

Semua Ahli Politik Termasuk PH Dalam Radar SPRM

Banyak isu yang terpaksa dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjaya barunya, Latheefa Koya bukan sahaja berusaha keras untuk menyiasat, malah menangani tanggapan umum sejauh mana keadilan ditegak apatah lagi beliau sebelum ini adalah anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ikuti wawancara khas beliau bersama wartawan BH Ahad, Wan Faizal Ismayatim dan Ilah Hafiz Aziz mengenai pelbagai persoalan isu semasa.

S: Pada 1 Jun lalu, kerajaan mengumumkan Puan dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu dan perkara ini mengejutkan semua pihak. Oleh demikian, apakah reaksi sebenar Puan terhadap perlantikan ini.

J: Ini bukanlah kali pertama saya ditanya soalan ini tetapi apa yang boleh saya katakan, ia bukan sahaja mengejutkan semua orang tetapi saya sendiri. Malah ketika dikhabarkan mengenai pelantikan itu, saya dalam keadaan yang amat sukar untuk berkata tidak. Ini disebabkan saya diberi pilihan sama ada menolak atau mempertimbangkan untuk berkhidmat dengan kerajaan. Saya mengisi jawatan Ketua Pesuruhjaya sebagai cabaran buat saya kerana ia berbeza dengan apa yang saya lakukan ketika itu.

S: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mendedahkan, persepsi rakyat terhadap keseriusan kerajaan dalam menangani permasalahan rasuah, integriti dan governans meningkat sebanyak 11 peratus daripada 59.8 peratus pada 2016 kepada 70.8 peratus tahun lalu. Bagaimana Puan melihat perkembangan terbaharu ini?

J: Tugas kami sebenarnya bukan setakat tangkap sahaja tetapi SPRM sebenarnya mempunyai bahagian sama penting iaitu pencegahan yang biasanya tidak dilihat oleh semua pihak. Ramai yang mengetahui bila operasi sahaja akan tangkap dan tuduh suspek tetapi isu pencegahan rasuah ini tidak diberi perhatian. Apa yang boleh SPRM lakukan untuk menyemai nilai-nilai benci dan jijik terhadap rasuah kerana setakat satu dua program anti rasuah tidak akan cukup untuk mendidik masyarakat terhadap perkara ini. Disebabkan itulah bahagian pencegahan ini penting. Kita mempunyai kelebihan dalam perkara ini kerana kita mempunyai modul yang boleh diberi perhatian untuk diterapkan dalam masyarakat lagi bermula zaman persekolahan. Kita mahu ia dijadikan subjek penting untuk dimasukkan dalam buku teks sekolah tetapi apabila ia dihalang dari segi birokrasi disebabkan masa dan kos, modul-modul ini tentu sekali akan ketinggalan zaman.

Hasilnya pada masalah rasuah ini tidak berkesudahan dan ini dibuktikan dengan kajian yang dilakukan SPRM beberapa tahun lalu, yang mendapati belia negara ini tidak malu melakukan rasuah jika mereka memperoleh peluang dan kita dapati pada masa kini, kakitangan awam yang paling ramai ditahan SPRM adalah pegawai muda. Tentu sekali ada sesuatu yang tidak kena dalam masyarakat kita hari ini. Oleh itu, saya merasakan SPRM harus memulakan langkah untuk melihat semula isu ini dan inilah cawangan pencegahan sedang lakukan ketika ini. Malah kami sendiri akan bertemu dengan Kementerian Pendidikan (KPM) pada Ogos ini untuk berbincang secara efektif mengenai perkara ini. Langkah ini salah satu inisiatif yang perlu dilakukan SPRM seperti yang dikehendaki dalam Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP). Dalam NACP ini, adalah lebih 100 inisiatif yang perlu dilaksanakan pelbagai agensi dan SPRM sendiri mempunyai lebih 50 inisiatif yang perlu dilakukan malah salah satu kementerian yang paling banyak pelaksanaan itu adalah KPM. Kita akan bekerjasama untuk memastikan perkara ini berlaku.

S: Adakah benar dakwaan bahawa siasatan hanya akan dimulakan sekiranya laporan dibuat kepada SPRM?

J: Sudah tentu kita menunggu laporan tetapi ia adalah laporan siasatan dan bukan bermaksud aduan. Laporan itu adalah berasaskan bukti yang kukuh untuk siasatan seterusnya dilakukan. Namun ada siasatan yang kita buat sendiri setelah mendapat maklumat yang jelas. Bagi aduan yang diadu, bawa bukti yang mereka ada, atas dasar apa, (kemukakan) dokumen… jangan hanya membuat laporan senang-senang mahu tuduh pihak tertentu.

S: Inisiatif pengisytiharan harta menjadi antara keutamaan SPRM sejak tahun lalu tetapi apabila Parlimen sebulat suara melulus usul mengenai perkara ini, ia mendapat reaksi berbeza daripada ahli parlimen tertentu. Bagaimana Puan melihat sendiri inisiatif pengisytiharan harta ini membantu agenda pencegahan rasuah negara?

J: Satu perkara yang dimasukkan dalam pentadbiran awam adalah pengisytiharan harta iaitu setiap penjawat awam perlu mengisytiharkan harta… jika mereka membuat tambahan harta adalah keperluan untuk melakukan perkara itu. Oleh demikian, sekiranya ada tindak-tanduk mencurigakan sebagai contoh, sering ke luar negara dengan gaji sekian-sekian, penjawat awam itu harus diberi perhatian. Melainkan dia mempunyai perniagaan lain atau keluarganya meninggalkan harta yang banyak. Perkara ini perlu menjadi tanggungjawab ketua jabatan sendiri untuk memastikan orang bawahannya tidak terjebak rasuah, jika tidak dia boleh dilihat bersengkokol. Dalam hal wakil rakyat pula, pandangan saya adalah, apabila seseorang menjadi ahli politik anda sebenarnya mengambil risiko untuk menjadi perhatian semua pihak, jadi melalui pengisytiharan inilah kita mahu melihat komitmen anda terhadap kerajaan yang bersih. Lagipun isu pengisytiharan harta ini adalah perkara asas sahaja padahal negara-negara lain sudah memasuki ke peringkat dua dan tiga dalam perkara ini… ini pun mereka mahu bersungut.

Mengenai dakwaan SPRM menggunakan maklumat harta untuk melakukan siasatan, kami akan bertindak sedemikian sekiranya data itu mencurigakan dan memperoleh maklumat tambahan dari luar sehingga memaksa kita menyiasat. Siasatan bukanlah kerana data yang yang diperoleh itu, sebaliknya pengisytiharan harta yang tidak betul atau palsu. Ini adalah akuan bersumpah dan anda boleh dikenakan tindakan jika memalsukan perkara itu. Sebenarnya seorang ahli politik berada di dalam dunia umum dan mempunyai akses kepada dana awam termasuklah wakil pembangkang sekali pun, dan sebagai rakyat, sudah tentu kami mahu tahu ke mana wang itu digunakan. Anda sepatutnya sedar apabila menjadi ahli politik, anda harus mengorbankan hal-hal privasi ini. Tetapi harus diyakini, SPRM tidak akan sesekali mendedahkan maklumat lanjut mengenai pengisytiharan harta ini.

S: Sebelum ini ada hli politik dan wakil rakyat dilihat ‘hidup seperti raja’ dan rakyat melihat ada sesuatu yang tidak kena, tetapi mereka ini tidak dikenakan tindakan. Jadi bagaimana Puan mahu mengubah situasi ini?

J: Bukan tugas saya untuk mengubahnya kerana saya hanyalah seorang penjawat awam yang bertanggungjawab melaksanakan apa sahaja kuasa yang diberikan mengikut undang-undang. Jika memberikan apa sahaja kuasa kepada SPRM, ia menjadi tugas kami untuk melaksanakannya. Tetapi saya ingin tegaskan, isu pengisytiharan harta ini jika dilakukan bersungguh-sungguh 10 tahun lalu, kita pastinya tidak berdepan dengan kehilangan berbilion-bilion ringgit. Jadi ketika ini kita sedang bergerak ke arah yang betul.

S: Walaupun negara sedang hebat memperjuangkan pencegahan rasuah, namun masyarakat hari ini seakan-akan boleh menerima individu yang terpalit dengan rasuah malah suspek (atau orang kena tuduh) itu mampu tersenyum dan membuat sidang akhbar selepas mereka dituduh. Apakah rasuah sedang menjadi budaya dalam masyarakat ketika ini?.

J: Orang ramai kena faham, apabila kita tangkap sahaja suspek ini tidak akan masuk terus ke dalam penjara kerana kita perlu hormati proses perundangan negara. Jika tidak, pastinya akan ada drama lain seperti difitnah dan diaibkan. Malah Malaysia adalah negara yang bertamadun dan mereka yang ditangkap berhak dibicarakan dan menemui peguam. Apa pun, saya amat mengenali orang politik, mereka senyum disebabkan masyarakat fikir mereka yakin, lagipun hari ini sosial media sedang berkembang.

S: Kita boleh katakan, Puan berasal dari PKR dan adakah ia menjadikan langkah Puan terbatas dalam membuat tindakan.

J: Kita sedang menyiasat ramai pihak sama ada yang lama dan yang baru (ahli politik kerajaan) kerana mereka ini mempunyai satu perkara iaitu kuasa dan kemampuan untuk akses kepada dana rakyat. Semua ahli politik termasuk kerajaan hari ini berada dalam radar kita untuk disiasat dan jika ada aduan, kita pasti akan siasat… cuma ia sudah tentu mengambil masa. SPRM mempunyai banyak kes yang tidak lagi selesai yang memakan banyak tahun.

S: Puan dilihat sebagai salah seorang kem Datuk Seri Azmin Ali tetapi dalam kes terbaharu yang membabitkan Timbalan Presiden PKR itu, anda dilihat berdiam diri sebaliknya memberi kuasa kepada Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki untuk bercakap. Boleh jelaskan mengenai tindakan itu.

J: Perkara ini bergantung kepada kes-kes tertentu dan bagi isu ini, semua kena faham, saya bertugas sebagai Ketua Pesuruhjaya dan di bawah saya ada tiga lagi timbalan dan apabila kes membabitkan operasi, timbalan saya iaitu Azam yang terbabit. Dakwaan mengatakan saya cuba lari, saya harus jelaskan bahawa saya tidak mencampuri hal ehwal siasatan kerana ia dilaksanakan pegawai siasatan. Sama ada tindakan atau tidak diambil kepada ahli PKR, ia akan tetap dilakukan walaupun dia ahli atau bukan ahli PKR. Adil atau tidak, di masa hadapan ini orang akan melihat apa yang dilakukan oleh saya malah saya merasakan semua orang termasuk pembangkang yakin dengan kemampuan saya. Jika tidak saya akan mengecewakan semua orang termasuklah ahli bekas parti saya.

S: Sebelum ini SPRM mendedahkan sebanyak 41 responden bagi mendapatkan semula wang berjumlah lebih RM270 juta yang dipercayai dipindahkan dari satu akaun Ambank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tetapi ia mendapat reaksi pelbagai pihak yang mempertikaikan tindakan SPRM. Boleh Puan jelaskan tujuan sebenar responden ini didedahkan?

J: Jumlah 41 responden ini bukanlah satu senarai penuh mereka yang terbabit tetapi di kalangan mereka sudah memfailkan afidavit di mahkamah malah ada yang mahu memulangkan wang itu. Mengulas mengenai pertikaian itu, mereka harus faham mengenai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA), yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu. Ia adalah akta yang sah dan memberi kuasa kepada SPRM untuk membuat tindakan. Dalam tindakan SPRM, kita mengesan apa yang berlaku termasuk sumber wang dan akaun-akaun yang terbabit. Selepas itu kita akan memberi notis kepada pemegang akaun untuk membekukan akaun itu supaya duit itu tidak boleh dialihkan ke mana-mana.

Dalam kes 41 responden ini, ia dibekukan 12 bulan sebelum saya menyertai SPRM lagi. Mereka mempunyai 12 bulan untuk mengambil tindakan sama ada mahu mengenepikan atau tunggu tindakan lucut hak. Itu yang kita lakukan, kita mengambil proses sivil dan pihak berkenaan mempunyai peluang untuk menjelaskan. Contohnya jika mereka mengambil duit bagi persatuan ibu tunggal atau anak yatim atau tujuan makan makan, tiada isu jika ia dijelaskan tetapi betul ke mereka berbuat demikian?. Ada yang cakap mahu beri pada anak yatim tetapi dibeli kereta Ferrari. Mereka ini tidak boleh bercerita dengan media sahaja, masukkan penjelasan itu dalam afidavit dan mahkamah akan tentukan. Perkara ini bukan penganiayaan atau situasi mengejutkan kerana mereka sudah tahu, mempunyai masa dua bulan kerana SPRM tidak boleh bekukan akaun itu selama-lamanya, akhir tempoh 12 bulan itu kita akan mengambil tindakan.

Responden ini adalah akaun dibekukan yang mempunyai duit tetapi kita juga ada senarai orang yang terima dana itu tetapi tiada duit dalam akaun. Mereka ini akan dikenakan tindakan selepas ini. Ada yang terima duit banyak tapi malangnya tidak menghabiskan duit itu, bagi yang tiada duit pula, kita ada bukti sekian-sekian duit yang banyak masuk tetapi (dalam akaun) duit tiada. Mereka ini tidak bermakna akan terlepas kerana itu adalah tindakan kita seterusnya. Tidak kisah sesiapa pun bercakap, kerana di mahkamah nanti semua orang akan tahu, jadi bercakap la kerana ia tidak akan membantu mereka pun. Jika ada (akuan) bersumpah dalam afidavit itu, jika tidak benar, tindakan akan diambil terhadap anda. Responden yang terbabit ini bukan kecil tetapi mampu melantik peguam… kita bukan bercakap mengenai sesiapa sebaliknya orang korporat, orang yang terpelajar.

S: Dalam kes AMLA ini, apa nasihat untuk orang awam sekiranya menerima wang atau dana tertentu untuk tujuan tertentu?

J: Kes membabitkan AMLA ini penting untuk masyarakat tahu, anda tidak boleh senang-senang menerima wang tanpa tahu punca. Ia mungkin wang yang mahu dicuci dan inilah yang dikatakan penggubahan wang haram… berpura-pura membeli sesuatu untuk tujuan lain. Sebagai contoh dalam aktiviti keganasan, sudah tentu anda tidak mahu ada kena-mengena dengan pihak ini, begitu juga dengan wang hasil dadah. Jika tiada tindakan, orang yang masuk penjara tetapi duit masih ada dan pastinya akan ‘berseronok’ nanti. Ramai pihak mendefinasikan pemberian kepada yayasan la, badan bukan kerajaan la, anak yatim la tetapi apabila disiasat baru kita tahu ini tujuan apa.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");