Berita Hari Ini

Sesuaikah Lagi Majoriti Mudah

Alang-alang Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 untuk menurunkan umur layak mengundi dan menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 tahun kepada 18 tahun diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga ahli Dewan Rakyat Selasa lalu, rasanya sudah tiba masa sistem mengundi negara turut diteliti semula.

Bukan saja peningkatan ketara jumlah pengundi muda, malah calon bertanding di sesuatu kawasan baik Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah tentu bertambah berbanding majoriti satu lawan satu sebelum ini.

Sistem pendaftaran pengundi secara automatik pula tentu membawa perubahan besar dari segi kematangan dan kesedaran politik dalam kalangan pengundi.

Berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), setakat September 2017 terdapat 3.8 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas layak mengundi, tetapi tidak mendaftar.

Data Jabatan Perangkaan mendedahkan 29 juta rakyat Malaysia layak mengundi pada 2018 dan terdapat 16.8 peratus rakyat Malaysia yang berusia antara 15 hingga 24 tahun.

Bermakna kini ada kira-kira 1.46 juta penduduk berusia antara 18 hingga 20 tahun yang nama mereka akan dimasukkan dalam senarai daftar pengundi baharu, dengan jumlah pengundi dalam kategori itu akan bertambah lebih lima juta.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dipetik berkata, jumlah pengundi dijangka meningkat kepada kira-kira 22.7 juta menjelang 2023 berikutan pindaan Perlembagaan diluluskan, sekali gus mencatatkan peningkatan lebih 50 peratus berbanding 14.9 juta direkodkan dalam daftar pemilih Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengundian di Malaysia sekarang berpandukan sistem First Past The Post (FPTP) atau majoriti mudah yang diguna pakai kerajaan British dan diperkenalkan di tanah jajahannya, yang secara teori menepati matlamat pada pertandingan satu lawan satu. Namun mungkin tidak mencerminkan majoriti dalam erti kata sebenar jika membabitkan tiga calon.

Umpamanya, jika calon A mendapat 40 peratus undi, diikuti calon B dan C dengan masing-masing 30 peratus undi, maka mengikut FPTP calon A adalah pemenang walaupun 60 peratus pengundi tidak memilihnya. Kaedah ini juga mendorong banyak calon kacau daun kerana perbezaan satu undi saja sudah cukup bagi menentukan pemenang.

Sistem diguna pakai di Malaysia sejak 1957 itu sudah lama dikritik sebagai tidak mencerminkan pilihan sebenar pengundi, terutama selepas PRU-13 berikutan perbezaan antara jumlah undi popular dan kemenangan kerusi di Parlimen.

Walaupun Pakatan Rakyat selaku pembangkang ketika itu, menang 51 peratus daripada jumlah undi keseluruhan, ia hanya menguasai 89 kerusi atau kira-kira 40 peratus daripada keseluruhan kerusi dipertandingkan kerana jumlah pengundi di setiap kawasan adalah berbeza.

Pada PRU-14 umpamanya, kerusi Parlimen Kapar mempunyai 169,989 pengundi, manakala Putrajaya mempunyai 27,314 pengundi, sekali gus membangkitkan persoalan apakah satu undi di Putrajaya lebih besar nilainya berbanding satu undi di Kapar.

Bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia, sukar mencari kaedah pengundian terbaik bagi memilih calon terunggul kerana politik kita masih kuat dipengaruhi aspek etnik, agama dan fahaman politik. Namun, ada masih boleh dipertimbangkan sejajar keputusan memberikan peranan lebih besar kepada golongan muda masa kini untuk mencorak landskap politik negara.

Ura-ura menukar sistem pengundian ini bukan isu baharu, sebaliknya sudah dibangkitkan dalam Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) diketuai Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang turut meneliti undang-undang pilihan raya, reformasi sistem pengundian, pendaftaran parti politik dan mekanisme pembiayaan pilihan raya.

Antara yang pernah disebut-sebut ialah Single Transferable Vote (STV) atau undi tunggal yang boleh dipindahkan, di mana pengundi mengundi dengan menyenaraikan calon yang bertanding mengikut pilihan mereka dan jika kiraan mendapati ada calon sudah mencapai kuota undi ditetapkan, maka beliau diisytiharkan pemenang.

Bagaimanapun, tambahan undi diterima calon yang melepasi kuota ditetapkan tidak diketepikan. Sebaliknya undi akan dipindahkan kepada pilihan kedua pengundi berkenaan sehingga kuota dicapai dan proses diulang sehingga semua kekosongan kerusi diisi.

STV kini diguna pakai pada pilihan raya di Britain, Ireland Utara, Republik Ireland, Malta, Scotland serta Australia dan semakin mendapat tempat kerana membolehkan pengundi memilih calon daripada parti sama atau berlainan, sekali gus membolehkan mereka memilih berdasarkan kebolehan calon individu.

Selain itu, sistem pengundian Proportional Representation atau Perwakilan Saksama, membolehkan pengundi memilih parti, bukan calon yang disukai berdasarkan calon ditampilkan. Kaedah ini dilaksana di Jerman, Turki dan Indonesia, tetapi kesesuaiannya di sini perlu dikaji mendalam.

Antara kebaikan sistem ini ia mengelakkan amalan lompat parti, selain dapat memastikan wakil pemimpin dalam kalangan wanita, belia dan kumpulan minoriti tidak ketinggalan menyuarakan kepentingan mereka.

Hakikatnya, tidak ada satu acuan dapat memuaskan semua pihak, sebaliknya lebih wajar bagi kerajaan menentukan kaedah pengundian terbaik berasaskan sentimen pengundi berikutan peningkatan pengundi muda selepas pindaan Perlembagaan. Sistem FPTP mungkin tidak sesuai lagi dalam landskap politik negara masa kini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");