IPOH- Kes rogol pembantu rumah warga Indonesia masih lagi berlanjutan dengan satu tuduhan lain dimana ada pihak ketiga cuba mendesak Setiausaha Sulit exco yang dituduh mengakui bahawa beliau pernah mengalami gangguan seksual.
Setiausaha sulitnya, Teoh Hui Yng berkata, beliau telah menerima satu panggilan dari seorang ahli politik MCA yang menyuruh beliau membuat pengakuan serta jangan hanya berbuat bodoh dan berdiam diri sahaja (buat laporan polis).
“Saya terima panggilan kira-kira jam 1 tengah hari semalam ketika berada di pejabat Paul Yong di Bangunan Perak Darul Ridzuan dimana individu itu bertanya sama ada saya ada mengalami gangguan seksual dari ‘dia’ tanpa menamakan sesiapa dan individu itu berkata jika ada jangan berdiam diri dan pergi buat laporan polis, kita semua tahu ‘dia’ ada kecenderungan ini.
“Saya telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan mengatakan bahawa saya tidak pernah mengalami apa-apa gangguan seksual malahan tuduhan tersebut tidak berasas kerana sehingga ke hari ini masih tiada sebarang kenyataan dari pihak polis yang mengatakan bahawa Paul Yong terlibat dalam kes rogol berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh hari ini.
Beliau yang telah berkerja dengan exco berkenaan hampir tujuh bulan berkata, beliau mahu pihak polis menyiasat sama ada terdapat muslihat untuk memfitnah exco berkenaan dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Dalam perkembangan lain katanya, Exco tersebut akan tetap akan menjalankan tugasnya seperti biasa bermula esok meskipun ada desakan untuk beliau berundur kerana perkara tersebut tidak akan mengganggu beliau untuk menjalankan tugas sebagai Exco
Peguamnya, Leong Cheok Keng berkata, tuduhan berkenaan tidak berasas dari segi objektif kerana ada keterangan alibi, ada sekurang-kurangnya tiga saksi masa yang boleh membuktikan Paul Yong pada waktu dilihat perkara tersebut adalahlah mustahil untuk merogol seseorang yang berada di rumah.
Katanya mengulas persoalan mengenai mengapa Paul Yong tidak direman adalah disebabkan beliau sendiri sanggup memberi kerjasama kepada pihak polis bagi menyelesaikan kes berkenaan dan masih belum ada bukti yang kukuh untuk direman.
“Seseorang itu masih belum dikira bersalah sehingga dibuktikan bersalah, dan dalam hal ini saya pasti beliau tidak bersalah dan tidak ada alasan untuk beliau meletakkan jawatannya sebagai Exco,” katanya.