Sukan Hari Ini

Shakir Nafi Label Leandro ‘Gila’

ALOR SETAR: Tonggak pertahanan Kedah, Shakir Hamzah membuat permohonan maaf kepada Leandro Dos Santos dan penyokong Perak susulan kenyataannya terhadap pemain tengah The Bos Gaurus itu pada sidang media, semalam.

Pada sidang media di Stadium Darul Aman itu, Shakir sebenarnya memaklumkan yang dia tidak faham mengenai ‘otak’ atau apa yang ada dalam kepala Leandro selepas pemain Brazil itu dilihat gemar melakukan provokasi terhadap pemain lawan.

Namun, segelintir penyokong Perak dilihat kurang senang dengan kenyataan yang dikeluarkan Shakir sedangkan maksud yang cuba disampaikan oleh pemain dari Singapura itu lebih kepada meluahkan bagaimana barisan pemain Kedah perlu bijak mengawal emosi supaya tidak terperangkap dengan provokasi Leandro pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Justeru, Shakir menerusi kenyataan di laman Instagram miliknya mengakui dia menggunakan perkataan yang kurang tepat berbanding maksud sebenar yang cuba disampaikan.

“Saya tidak bermaksud untuk melabel Leandro ‘gila’, saya cuba mengatakan mengenai kekasaran dan gangguan mental yang cuba dilakukannya sebagai seorang pemain dalam perlawanan.

“Apa yang saya katakan mungkin terkeluar daripada maksud sebenar yang saya cuba sampaikan, tapi saya tidak berniat untuk menimbulkan kemarahan. Dalam rancak berbicara saya hilang kawalan dan menggunakan perkataan kurang tepat,” kata Shakir, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Pada sidang media semalam, Shakir berkata: “Saya tidak tahu dengan otak dia (Leandro) dan apa masalah dia. Tapi kami kena kawal emosi apabila berdepan dengan pemain seperti itu.”

Malah, media semalam turut melaporkan bekas pengendali Kedah, Azraai Khor Abdullah turut menasihatkan pemain Kedah supaya berhati-hati dengan muslihat dan provokasi yang cuba dimainkan Leandro.

Selain membuat permohonan maaf, Shakir turut meminta semua pihak tidak lagi memperbesarkan isu berkenaan terutama di media sosial.

“Ia (perkataan itu) mungkin nampak kasar tapi sebenarnya saya tidak bermaksud demikian,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");