Berita Hari Ini

Siasatan Ke Atas Mohamad Apandi, Dzulkifli Masih Berjalan

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih berjalan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata beberapa saksi dari SPRM turut dipanggil bagi membantu siasatan.

“Untuk makluman, SPRM ada menerima maklumat berhubung bekas Peguam Negara dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM yang dikatakan menyalahguna kuasa untuk menutup kes berkaitan SRC International dan 1MDB.

“Bagaimanapun, siasatan berhubung isu ini dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pihak yang berkecuali. Siasatan oleh PDRM masih lagi berjalan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-DAP Kepong) yang meminta status siasatan terhadap dua individu terbabit serta beberapa lagi bekas pegawai kanan kerajaan berhubung peranan mereka dalam skandal 1MDB.

Pada Julai 2015, Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Perdana Menteri melantik Mohamad Apandi sebagai Peguam Negara menggantikan Tan Sri Abdul Gani Patail, yang pada masa itu mengetuai pasukan petugas khas untuk menyiasat penyelewengan dana syarikat terbabit.

Najib disiasat kerana didakwa menerima dana RM2.6 bilion yang dikatakan derma politik daripada keluarga diraja Arab Saudi dan penyelewengan RM42juta dana SRC International.

Mohamad Apandi melepaskan jawatan Peguam Negara selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan pada tahun lalu.

Pada 11 Mei tahun lalu, Mohamad Apandi menafikan dakwaan beliau menyorokkan bukti berkaitan siasatan isu 1MDB.-BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");