Polis Perak berjaya mematahkan sindiket pinjaman wang tidak berlesen atau ‘ah long’ yang menggunakan taktik ‘pinjaman secara online’ sebagai modus operandi dan bergerak aktif di beberapa buah negeri.
Hasil serbuan sekitar jam 10 malam di sebuah kondominium di Serdang, Selangor itu, Polis telah menahan kesemua suspek termasuk sepasang suami isteri berusia lingkungan 24 hingga 34 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak, Superintenden Hasbullah Abd. Rahman berkata, anggota polis memulakan gerakan selepas mendapat laporan polis dari seorang wanita yang mendakwa menerima nota ugutan bertulis ‘hutang wang kena bayar’ di rumahnya di Ipoh pada 28 Mei lalu.
“Kita menerima laporan dimana mangsa juga mendakwa kediamannya disimbah cat dan pagar rumah dirantai serta dikunci dengan mangga.
“Susulan laporan polis yang dibuat, satu pasukan khas ditubuhkan dengan risikan dilakukan selama dua bulan sebelum kesemua suspek berkenaan berjaya diberkas kelmarin.
“Dalam serbuan itu, kita merampas beberapa barang kes termasuk telefon bimbit pelbagai jenama, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM), tin cat berwarna merah, botol cat berwarna merah dan hitam, sejumlah rantai besi dan mangga, komputer riba serta dokumen peminjam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Difahamkan, sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu menawarkan pinjaman secara atas talian di mana semua dokumen termasuk kad pengenalan dan wajah peminjam akan dihantar melalui aplikasi WeChat sebelum wang dikreditkan ke dalam akaun peminjam.
Menurut Hasbullah, kegagalan peminjam melunaskan hutang menyebabkan sindiket berkenaan bertindak menakutkan dengan menyimbah cat dan menconteng rumah mangsa.
Beliau memberitahu, sindiket tersebut juga menggunakan modus operandi dengan merantai pintu rumah mangsa selain meninggalkan nota dan salinan kad pengenalan dengan tulisan berbaur ugutan.
“Siasatan mendapati, sindiket yang aktif sejak tahun lalu itu mempunyai 15 kes di Perak dan empat kes di Selangor selain dipercayai terlibat dengan beberapa kes di negeri lain yang masih dalam siasatan.
“Kesemua mereka yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu direman selama tiga hari bermula semalam sehingga esok untuk siasatan mengikut Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 195,” katanya.