Sukan Hari Ini

Skuad Berbasikal Wanita Negara Sasar Podium LTdF

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal wanita Malaysia menyasarkan penamat podium dalam acara jelajah berbasikal wanita antarabangsa, Le Tour de Femina (LTdF) yang akan diadakan di negara ini, pada September ini.

Jurulatih kebangsaan, Amir Mustafa Rusli berkata pasukannya yang terdiri daripada enam pelumba wanita sudah menjalani latihan sebagai persediaan kepada acara berbasikal kelas dunia itu.

Katanya, Jupha Somnet dan Nur Aisyah Mohamad Zubir adalah antara atlet berbasikal lebuh raya yang paling menonjol dan berpengalaman dalam pasukan itu.

“Saya menyasarkan mereka berdua (Jupha dan Nur Aisyah) akan berjaya mendapat tempat pertama sekurang-kurangnya pada satu peringkat.

“Baru-baru ini, Jupha menduduki tempat kedua dalam dua peringkat Tour of Biwase Cup 2019 di Vietnam pada Mac, mengalahkan pelumba lain daripada 22 pasukan berbeza,” katanya.

Pelumba dari Terengganu, Nur Aisyah juga mempunyai rekod prestasi yang baik apabila merangkul tujuh pingat emas dan muncul atlet paling berjaya negeri itu dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Amir berkata empat pelumba wanita kini sedang bersaing dalam An Giang Television Cup 2019 di Vietnam pada 12 hingga 19 Julai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LTdF Shahirudeen Seeni Mohamad berkata persiapan untuk acara itu sedang dilakukan dan sudah mencapai 50 peratus siap.

Menurutnya, terdapat beberapa perubahan besar pada laluan yang akan diumumkan minggu hadapan selepas pasukan peninjau memuktamadkan laluan itu.

Beliau juga terkejut dengan sambutan luar biasa daripada pasukan yang ingin menyertai acara itu.

“Sasaran kami untuk acara ini adalah 23 pasukan tetapi kami menerima lebih 40 penyertaan. Jadi pada masa ini kami berusaha sebaik mungkin untuk berunding dengan beberapa pasukan,” katanya.

Le Tour de Femina adalah acara jelajah berbasikal untuk pelumba wanita yang akan diadakan di Malaysia pada 7 hingga 12 September ini.

Acara itu yang diperakui badan induk dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan disertai oleh 138 pelumba wanita pro daripada 23 pasukan antarabangsa lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");