KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata ‘dalang’ menembak pesawat MH17 sehingga jatuh di timur Ukraine 5 tahun lalu tidak mungkin diketahui.
Beliau berkata ini kerana insiden itu dilakukan secara sengaja sehingga mengorbankan 298 nyawa yang tidak bersalah.
“Kita rasa sedih kerana ia insiden yang disengajakan.
“Kita juga tahu ia adalah roket tapi malangnya tidak tahu siapa yang melakukannya,” katanya ketika ditemui selepas merasmian Beyond Paradigm Summit 2019 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia.
Hari ini genap tahun ke-5 peristiwa tragis pesawat MH17 yang ditembak jatuh berhampiran Hrabove, sebuah kampung di timur Ukraine sehingga mengorbankan 298 orang termasuk 43 warga Malaysia.
Boeing 777 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh pada 17 Julai 2014.
Bulan lalu, JIT yang diketuai Belanda dilaporkan berkata, mereka yakin satu misil Telar BUK digunakan untuk menembak jatuh MH17.
Katanya, senjata itu berasal dari Briged Misil Anti-pesawat ke-53, satu unit tentera Rusia yang berpangkalan di Kursk di Rusia.
JIT menamakan 4 suspek – Igor Girkin, bekas kolonel keselamatan Rusia; Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov dari Perkhidmatan Risikan Tentera Rusia serta Leonid Kharchenko, bekas komander Ukraine.
Ramai pengkritik, termasuk Mahathir menolak penemuan pasukan itu dengan berkata, mereka tidak mengemukakan sebarang bukti kukuh untuk menunjukkan 4 suspek terbabit melakukan jenayah itu.
Bercakap dengan robot
Sebelum itu, Mahathir sempat berkomunikasi dengan robot humanoid sosial, Sophia dalam program Sidang Kemuncak Melangkau Paradigma.
Lebih menarik lagi, ketika Mahathir menanyakan beberapa soalan kepada Sophia, robot buatan Hong Kong itu bukan sedar menjawab malah sempat melakar lukisan gambarnya.
Antara beberapa soalan yang ditanyakan Mahathir adalah apakah yang Sophia ketahui mengenai beliau ketika menjadi perdana menteri ke-4 dan perbezaan antara Sophia dengan robot lain.
“Sudah tentu saya tahu, anda mengangkat sumpah pada 16 Julai 1981 iaitu kira-kira 13,881 hari lalu. Saya berani bertaruh penonton sedang mengira sekarang.
“Tidak semua robot bersantai dengan perdana menteri Malaysia dan saya direka dengan teknologi berkomunikasi dengan orang ramai dan mempunyai perasaan,” kata Sophia ketika menjawab soalan Mahathir.
Ketika ditanya pemberita mengenai reaksi berkomunikasi dengan robot tersebut, Mahathir berkata ia ada pengalaman yang menakjubkan apabila dapat melihat sesuatu yang hampir sama dengan kejadian asal.
“Muka dia, mata dia… bila dia respon dia bergerak, tengok, saya takut. Takut tengah-tengah malam jumpa dia, saya lari,” katanya.