Berita Hari Ini

Tak Timbul Soal Menteri Cuba Bersihkan Setpol Disiasat SPRM

Dakwaan yang mengatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong cuba membersihkan nama seorang setiausaha politik yang disiasat SPRM tidak sepatutnya timbul.

Hal ini dijelaskan setiausaha sulit kepada menteri undang-undang itu, Mohd Hanafiah Sahih Montoi yang berkata jawapan Liew di Dewan Negara mengenai penyiasatan SPRM terhadap jam tangan mewah setiausaha politik itu cuma berdasarkan maklumat.

Hanafiah berkata butiran kes itu masih dalam klasifikasi dan sedang menunggu tindakan Pejabat Peguam Negara.

“Oleh yang demikian, tidak wujud isu yang Liew Vui Keong cuba membersihkan nama pegawai kanan tersebut seperti yang dinyatakan oleh Dr Wee Ka Siong dalam paparan Facebook bertarikh 27 Julai 2019 itu

“Saya ingin menasihatkan pihak-pihak bahawa kes ini masih dalam pertimbangan Pendakwa Raya.

“Oleh itu, kandungan laporan dan informasi laporan tersebut adalah rahsia seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

“Walau bagaimanapun, tiada halangan untuk Dr Wee Ka Siong mengemukakan sebarang informasi berkaitan dengan kes-kes tersebut kepada SPRM untuk membantu siasatan, sekiranya ada,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Ahmad Sabki Yusof, setiausaha politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub pada April lalu ditangkap SPRM berhubung siasatan jam tangan mewah yang dihadiahkan kepadanya.

Ketika sidang Dewan Negara pada 25 Julai lalu, Liew ditanya mengenai perkembangan kes ini.

Jawab Liew, beliau difahamkan SPRM telah memberi “pelepasan” kepada setiausaha politik itu selepas mendengar penjelasan sumber wang untuk membeli jam tangan mewah itu.

Ini mencetuskan kekeliruan kerana dilaporkan sebelum ini jam tangan itu merupakan hadiah.

Selanjutnya, Liew berkata kenyataannya disalah petik mendakwa tidak pernah berkata jam itu dibeli walaupun hansard menunjukkan sebaliknya.

Mohd Hanafiah, dalam kenyataan hari ini menjelaskan perkataan “pelepasan” yang digunakan Liew memiliki maksud khusus perundangan.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa maksud “perlepasan” mempunyai maksud tersendiri dalam konteks undang-undang.

“Misalnya seseorang boleh dilepaskan tanpa dibebaskan (Discharge not amounting to acquittal) oleh mahkamah untuk sesuatu kesalahan jenayah dan ia tidak bermaksud individu tersebut telah didapati tidak bersalah,” katanya.

Mengulas kenyataan presiden MCA, Hanafiah berkata jika Wee serius membanteras rasuah, beliau perlu menilai kenapa para senator MCA mengundi membantah usul anggota Dewan Negara mengisytiharkan harta mereka.

“Saya tidak ingin mengulas sama ada Dr Wee Ka Siong telah hilang kawalan terhadap senator-senator MCA kerana ia merupakan perkara dalaman parti tersebut.

“Namun, Dr Wee Ka Siong tidak seharusnya menunding jari kepada Liew Vui Keong untuk mengalihkan perhatian orang awam daripada realiti dan cabaran yang dihadapi oleh beliau dalam memimpin parti politik tersebut.

“Relevansi sesebuah parti politik tidak seharusnya dibina atas publisiti murahan tetapi atas kesungguhan ahli-ahli parti tersebut untuk menjalankan amanah yang diberi oleh rakyat,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");