Berita Hari Ini

Tempoh Tambahan 3 Bulan Untuk Pemandu e-hailing

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju memberi tempoh tambahan tiga bulan melalui pendekatan ‘soft landing’ dan mendidik kepada semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat ditetapkan untuk terus beroperasi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata pihaknya melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil pendekatan penguatkuasaan berbentuk mendidik secara berperingkat kepada pemandu e-hailing.

Katanya, keputusan itu diputuskan melalui mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Semua pemandu e-hailing yang masih belum mematuhi syarat ditetapkan kerajaan, dibenarkan meneruskan operasi mereka selama tiga bulan bermula hari ini.

“Sepanjang tempoh tiga bulan bermula hari ini, mana-mana pemandu yang memandu tanpa Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) atau memandu kenderaan yang tidak mematuhi syarat kenderaan akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya melengkapkan semua peraturan ditetapkan.

“Selain itu, syarat dan peraturan bagi 31 Syarikat Perniagaan Pengantaraan (EHO), ia mula dikuatkuasakan hari ini maka mereka perlu mematuhinya, manakala kadar komisen pemandu e-hailing adalah maksimum 20 peratus dan pemandu teksi pula, maksimum 10 peratus,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

BH sebelum ini melaporkan pada Julai tahun lalu kementerian memberikan moratorium selama setahun kepada syarikat e-hailing untuk persiapan sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya 12 Julai ini.

Loke ketika itu berkata, ia untuk memberi masa dan ruang kepada mereka yang terbabit memohon perniagaan pengantara, lesen memandu vokasional, pendaftaran kenderaan dan membeli insurans tambahan.

Ketika ditanya faktor menyebabkan kerajaan memberi tempoh tambahan, Loke berkata, pihaknya mengambil pendekatan praktikal apabila ramai pemandu e-hailing sedang menjalani proses PSV dan Permit Kenderaan E-hailing (eVP) yang sememangnya dijangka akan berlaku kerana melakukannya saat akhir.

“Lihat sahaja dalam tempoh seminggu terakhir ini, beri-ribu pemandu mengambil PSV maka kita juga tidak mahu berlakunya masalah dalam kalangan penumpang kerana ketiadaan perkhidmatan ini.

“Apabila melakukan saat akhir, sudah pastinya proses akan menjadi lambat sedangkan kita sudah nasihatkan, sejak berbulan-bulan lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Loke berkata, sebanyak 17,596 eVP iaitu 4,216 teksi dan 13,380 kenderaan persendirian sudah dikeluarkan di mana jumlah terbabit akan terus meningkat selepas pemandu mendapat lesen masing-masing.

“Seramai 31,731 calon sudah mendaftar untuk kursus dan ujian PSV di 226 institut memandu seluruh negara dan daripada jumlah itu, seramai 25,248 calon lengkap kursus manakala bakinya, lulus ujian PSV.

“Selain itu, seramai 16,528 orang sudah menghadiri kursus PSV yang dikendalikan EHO dan daripada jumlah itu, seramai 3,090 calon lulus ujian PSV. Ini menjadikan jumlah keseluruhan calon yang lulus PSV seramai 22,981 orang,” katanya. – BHarian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");