Berita Hari Ini

Tiada Tangkapan Sepanjang Sekatan Jalan Raya Di Pasir Gudang

JOHOR BAHRU – Tiada tangkapan dilakukan sepanjang operasi sekatan jalan raya di Pasir Gudang dijalankan yang bertujuan mencegah cubaan membawa keluar sisa kimia di kawasan itu secara runcit, kata Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Beliau berkata sekatan jalan raya yang dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga itu juga berjalan dengan lancar semenjak mula dilaksanakan pada 21 Jun lepas.

Katanya, memandangkan keadaan di Pasir Gudang kembali reda, operasi berkenaan juga akan dikurangkan.

“Kita ambil ia sebagai langkah berjaga-jaga pada awalnya…dengan cara itu pihak Jabatan Alam Sekitar dan pihak berwajib yang lain dapat menjalankan tugas mereka.

“Setakat ini kita berjaya dan mendapati situasi terkawal jadi kita akan kurangkan secara perlahan-lahan (sekatan jalan raya) dan harap Pasir Gudang akan kembali aman seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas Program High Profile Policing (HPP) Reaching Your Heart di sini, malam tadi, lapor Bernama.

Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal hadir merasmikan program berkenaan yang turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Unit Pancaragam Pusat dan Pancaragam Zon Selatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diikuti ‘walkabout’ di Bazar Karat.

Sementara itu, Dr Sahruddin berharap program itu yang menunjukkan keprihatinan terhadap masyarakat dan membangun kapasiti keselamatan serta kesejahteraan harus diteruskan.

“Saya harap ia dapat diteruskan, kebaikan yang dapat saya lihat adalah program ini mendekatkan polis dengan masyarakat.

“Apa yang penting kita bukan mahu masyarakat takut dengan polis, tetapi lebih kepada menghormati mereka,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");