IPOH: Exco DAP Perak, Paul Yong Choo Kiong yang disiasat atas tuduhan merogol pembantu rumahnya yang merupakan warga Indonesia hadir bagi menjalankan tugas seperti biasa di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Difahamkan Paul Yong mahu menyelesaikan beberapa perkara penting berkaitan urusan kerajaan negeri Perak yang terpaksa ditangguh olehnya berikutan kes tuduhan yang dihadapinya.
Beliau tiba sekitar jam 9.00 pagi tdai yang turut diiringi oleh ADUN Buntong, A.Subramaniam serta peguamnya, Leong Cheok Keng.
Menurut beliau, tiada sebab untuknya ‘berehat’ daripada menjalankan tugasnya sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru memandangkan tuduhan tersebut belum dibuktikan dan ia masih di peringkat awal.
“Tiada apa yang berlaku kepada saya, jadi tidak perlu bertanya sama ada saya boleh meneruskan kerja atau tidak.
“Saya masih seorang Exco dan sebaik-baiknya kita serahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan dan saya sendiri yakin dengan profesionalisme pihak polis.
“Biarlah masa yang menentukan segalanya dan apabila siasatan selesai dan didapati bersalah, maka bersalah la, jika tidak, tidaklah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media yang dilakukan di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini.
Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak menolak kemungkinan bahawa Exco DAP itu akan direhatkan daripada tugasan pentadbiran jika siasatan polis mengambil masa yang lama.
Ia termasuklah mengehadkan tugasnya dengan tujuan tidak mahu menganggu proses siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.
Mengulas mengenai perkara itu, Paul Yong berkata, pihaknya bersedia untuk direhatkan sementara daripada tugas sekiranya siasatan kes tersebut betul-betul memerlukan tempoh masa yang lama.
“Kita tidak tahu berapa lama tempoh masa yang diperlukan untuk menyelesaikan kes ini dan jika ia berlanjutan, sudah pasti MB akan nasihatkan saya untuk berehat,” katanya.
Pada perkembangan sama, lebih 20 pengamal media berkumpul di hadapan pejabat Exco tersebut bagi mendapatkan komen beliau mengenai tuduhan yang melanda diri beliau.
Turut kelihatan, beberapa barisan Exco Kerajaan Negeri Perak daripada DAP antaranya Dr. Abdul Aziz Bari, Howard Lee Chuan How, Wong May Ing dan A.Sivanesan.
Terdahulu, seorang pembantu rumah warga Indonesia telah membuat satu laporan polis pada Isnin lalu yang mendakwa majikannya yang juga Exco Kerajaan Perak telah melakukan serangan seksual terhadapnya di kediaman milik lelaki tersebut di Meru, Ipoh.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain melaporkan bahawa, pembantu rumah warga Indonesia itu kini ditempatkan di lokasi yang selamat sehinggalah kertas siasatan berkaitan kes tersebut dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Timbalan Pendakwa Raya.