Sukan Hari Ini

Tinggalkan Reds, Moreno Pilih Villarreal

LONDON: Bekas pertahanan Liverpool, Alberto Moreno bersetuju dengan perjanjian selama lima tahun bersama kelab Sepanyol, Villarreal.

Pertahanan kiri itu pulang ke La Liga selepas menghabiskan tempoh lima musim di Anfield, melakukan 141 penampilan dan meledak tiga gol sebelum dilepaskan apabila kontraknya berakhir pada Jun lalu, lapor BH Online.

Pemain berusia 27 tahun itu melepasi ujian perubatan dan akan diumumkan sebagai pemain kelab itu pada petang ini, selepas dia menjalani sesi latihan pertamanya.

Moreno bergelut untuk mengisi kesebelasan utama Liverpool ketika juara Eropah itu mengekalkan standard tinggi di semua bahagian dengan Andrew Robertson tampak lebih bersedia mengisi posisi berkenaan.

Pemain kelahiran Sepanyol itu hanya membuat lima penampilan bersama Reds musim lalu dengan skuad kendalian Jurgen Klopp menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kedua dan menjuarai Liga Juara-Juara.

Moreno sebelum ini pernah merasai kejuaraan di pentas Eropah bersama bekas kelabnya, Sevilla yang memenangi Liga Europa pada 2014. Dia sekali lagi berdepan bekas kelabnya itu bersama Liverpool di final Liga Europa pada 2016 tetapi tewas 1-3.

Moreno yang dibeli Reds dengan nilai 12 juta pound (RM61.95 juta) adalah pembelian ketiga Villarreal musim panas ini selepas Ruben Pena dan Raul Albiol dengan kelab itu menamatkan saingan La Liga di tangga ke-14 musim lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");