Berita Hari Ini

Tuduhan Cubaan Keruhkan Hubungan Persekutuan, Sarawak – Tony Pua

PUTRAJAYA: Tuduhan sesetengah pihak bahawa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membuat kenyataan dengan niat jahat berkaitan projek baik pulih sekolah daif di Sarawak, bertujuan cuba mengeruhkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tony Pua, berkata kenyataan Guan Eng berhubung isu itu adalah pengumuman perkembangan semasa yang positif.

Sehubungan itu, beliau berkata, kenyataan Pembantu Menteri Hal Ehwal Korporat di Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Abdullah Saidol yang menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan, Isnin lalu, sebagai ‘kenyataan politik kasar’ amat dikesali.

“Lebih-lebih lagi, kenyataan menteri selaras dengan kerajaan Sarawak, seperti dimaklumkan dalam surat Ketua Menteri kepada Menteri Kewangan 15 Julai 2019.

“Persetujuan Kementerian Kewangan menunjukkan kesediaan dan keikhlasan Kerajaan Persekutuan untuk menyegerakan projek baik pulih sekolah daif di Sarawak menurut mekanisme perundangan dipersetujui semua pihak.

“Untuk rekod, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju secara dasarnya untuk menerima sebahagian daripada bayaran balik pinjaman hutang kerajaan Sarawak sebanyak RM1 bilion kepada Kerajaan Persekutuan bagi baik pulih sekolah daif, tertakluk kepada mekanisme perundangan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor BH Online.

Pua berkata, empat perundangan ditetapkan iaitu pertama, kerajaan Sarawak akan membayar balik sehingga RM1 bilion daripada jumlah hutangnya kepada Kerajaan Persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan, dan ini selaras dengan penetapan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Kedua, Kerajaan Persekutuan akan memperuntukkan jumlah sama seperti yang dibayar balik oleh kerajaan negeri untuk digunakan bagi projek baik pulih sekolah daif di Sarawak.

Ketiga, kerja baik pulih sekolah daif di Sarawak hendaklah ditawarkan secara tender terbuka bagi memastikan ketelusan dan nilai berpatutan berdasarkan tata cara kewangan Kerajaan Persekutuan semasa.

Keempat, Kerajaan Persekutuan sedia mengambil kira keutamaan kerajaan Sarawak dalam menentukan sekolah daif untuk dibaik pulih.

Pua berkata, Menteri Kewangan jelas menyatakan kesudian beliau untuk bekerjasama dengan niat ikhlas untuk memastikan projek baik pulih sekolah daif di Sarawak berjalan lancar.

“Ini demi kebaikan rakyat Sarawak. Kenyataan beliau yang berlandaskan fakta dan kesefahaman semua pihak tidak sepatutnya dijadikan modal untuk berpolitik oleh pihak tertentu,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");