Berita Hari Ini

Video Haziq Ancam Keselamatan Negara?

SUBANG JAYA – Penyebaran video seks  luar tabii mirip seorang menteri kabinet dengan Ketua AMK Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz bukan sahaja mencemarkan nama baik negara.

Malah ia dikhuatiri boleh mengundang bencana kepada keselamatan Malaysia.

Pemangku Presiden Majlis Belia Selangor (MBS),  Syafiq Ridzwan Jamaluddin tidak menolak kemungkinan itu kerana video yang melibatkan ahli PKR itu boleh dijadikan satu ancaman oleh musuh negara selepas ia dipercayai dimuat naik di laman web video lucah antarabangsa, PornHub.

“Kalau video itu betul telah dimuat naik dan boleh diakses di seluruh dunia, yang lebih memalukan melibatkan pemimpin kita, saya tengok perkara ini daripada aspek lain daripada orang lain.

“Saya rasa ia menjejaskan keselamatan negara kita sebab pelakunya adalah (mirip) menteri kita punya akses kepada semua maklumat dan dokumen sulit kerajaan.

“Saya rasa kalau perkara ini tidak dikawal dan dikekang atau diselesaikan dengan cara yang baik, mungkin ada unsur ugutan daripada perisik-perisik luar negara yang berniat jahat kepada Malaysia.

“Sebab ia adalah menteri kita, dia bukan orang biasa-biasa, dia adalah menteri kita. Ia mungkin boleh dijadikan modal ugutan kepada keselamatan negara dan ugutan kepada rahsia sulit negara,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Selangor 2019 hari ini.

Isnin lalu, tular satu lagi video seks luar tabii dipercayai melibatkan Haziq dan lelaki yang didakwa Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp.

Kali ini video berkenaan dipaparkan terus ke dalam YouTube dan dapat ditonton secara umum serta lima pautan lain melibatkan satu website lucah antarabangsa.

Pada 12 Jun lalu, Haziq tampil mengaku dirinya merupakan salah seorang individu dalam klip video seks luar tabii yang tular serta mendakwa individu bersamanya adalah Mohamed Azmin.

Justeru, Syafiq Ridzwan juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan termasuk mengawal dan mengekang penularan video seks itu di laman web yang terdedah kepada tontonan umum.

“Kalau betul video itu palsu, SKMM perlu ambil tindakan terhadap portal itu (PornHub). Kerajaan Malaysia perlu ambil tindakan untuk meminta portal itu menurunkan video itu,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, pelaku dalam video terbabit perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya termasuk melepaskan jawatan sama ada dalam kerajaan mahupun politik.

“Kita tak nak perkara ini berlanjutan, kita bukan nak kata menteri ini salah atau tidak tapi ia seolah-olah memberi gambaran kepada kita bahawa video songsang itu normal dan kita boleh terima di Malaysia.

“Kita bukan mengutuk pelaku itu sendiri tapi kita mengutuk perbuatan itu yang tak boleh terima,” katanya.

Penyebaran video itu melalui laman web antarabangsa bukan sahaja menghina Perlembagaan Malaysia bahkan melanggar hukum hakam agama Islam di negara ini.

“Ianya melanggar tatatsusila norma budaya kita dan melanggar hukum hakam agama Islam itu sendiri.

“Saya rasa melanggar hukum hakam Islam lebih besar daripada menghina Perlembagaan Malaysia.

“Itu sudah memadai untuk membuktikan betapa perkara ini adalah bukan perkara biasa, tak boleh dibiarkan dan kita tak boleh kata ia boleh diterima di Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");